Getting Real: Tetapkan Tempoh dan Bajet, Ubah Skop

Ini cara mudah untuk lancarkan tepat pada masanya dan tidak melangkaui bajet: tetapkan kedua-duanya. Jangan tambah lebih banyak masa atau wang pada masalah, hanya kecilkan skop.
Ada mitos sebegini; Kita boleh lancarkan tepat masa, bajet dan skop. Ini memang hampir mustahil dan jika berlaku sekalipun selalunya kualiti menjadi mangsa. Sekiranya anda tidak boleh menyumbat segalanya dalam masa dan bajet yang ditetapkan jangan kembangkan masa dan bajet. Sebaliknya, kecilkan skop. Akan sentiasa ada masa untuk menambah kemudian – kemudian itu infiniti, sekarang itu melintas patas.
Melancarkan sesuatu yang hebat dengan skop yang sedikit lebih kecil adalah lebih baik daripada melancarkan sesuatu yang hampeh dan penuh lubang kerana anda perlu menepati skop, masa dan bajet yang tidak realistik. Biarkan itu semua kepada ahli politik. Anda ada bisnes sebenar untuk dijalankan dan produk sebenar untuk dihasilkan. 
Berikut adalah manfaat menetapkan masa serta bajet, dan membiarkan skop fleksibel;
  • Utamakan yang utama – Anda perlu tentukan apa yang betul-betul penting. Apa yang akan termasuk dalam versi awal? Ini akan memaksa satu kekangan yang akan memaksa anda membuat keputusan sukar berbanding terus berlengah-lengah.
  • Realiti – Menetapkan jangkaan adalah penting. Sekiranya anda cuba menetapkan masa, bajet dan skop – anda tidak akan dapat menghasilkan sesuatu pada tahap kualiti yang tinggi. Betul, anda boleh hasilkan sesuatu. Tetapi adakah “sesuatu” itu yang anda hendak hasilkan?
  • Fleksibiliti – Kebolehan untuk berubah adalah penting. Menetapkan segalanya menyukarkan perubahan. Menyuntik fleksibiliti skop akan membuka alternatif berdasarkan pengalaman sebenar anda membina produk. Fleksibiliti adalah rakan anda.
Saranan kami; kecilkan skop. Lebih baik buat separuh produk berbanding membuat produk separuh jalan yang tak semenggah (lebih banyak tentang ini kemudian…)
Satu, dua, tiga
Bagaimana projek boleh menjadi setahun lewat? Sehari demi sehari.

– Fred Brooks, software engineer dan saintis komputer

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *