Gerai Steamboat Yang Berjaya Dengan Tidak Menjual Steamboat

Minggu lepas, saya berkesempatan ke Port Dickson. Oleh kerana sudah hampir sepuluh tahun saya tidak menjejakkan kaki ke sana, maka saya buka Foursquare untuk mendapatkan cadangan tempat makan.

Saya tidak begitulah lapar sangat pada malam tersebut, kudapan pun sudah memadai. Lagipun saya malas hendak ke warung atau restoran masakan thai, di mana-mana pun ada. Saya tertarik dengan cadangan dari Foursquare untuk ke Fazlina Steamboat. Memang ada banyak gerai steambot di sepanjang pantai di Port Dickson tetapi hanya gerai ini yang naik di Foursquare.

Dalam perjalanan ke sana, saya menempuhi dua tiga gerai steamboat lain yang terletak di tepi pantai. Bila sampai sahaja di Fazlina Steamboat, saya mula nampak apa yang menyebabkan gerai ini lain dari yang lain.

Sebut sahaja steamboat, kita selalunya akan terbayang bebola ikan, sotong dan kangkung. Tiada apa yang menarik sangat, semua boleh beli di pasar dan supermarket. Kelainan yang selalu diperkatakan pun selalunya berkisar kepada sos.

Fazlina Steamboat mengambil pendekatan berbeza dengan memberi pengalaman unik kepada para pengunjung. Sewaktu peniaga lain masih menjual seperti di pasar malam, mereka memahami bahawa kebanyakan pengunjung adalah mereka yang hendak bersantai dan hendak berkelah. Atas kefahaman itu, mereka membentangkan beberapa tikar di tepi pantai bagi kemudahan pengunjung. Lampu juga dipasang berserta meja rendah dan servis yang cepat bagi memastikan persekitaran yang sentiasa bersih.

Maka, Fazlina Steamboat bukan lagi menjual steamboat tetapi sebenarnya menjual pengalaman berkelah di tepi pantai yang menyenangkan. Tidak perlu bawa makanan, tikar dan meja. Tambah pula ada orang yang melayan dan tidak perlu pening mencari kawasan pantai yang bersih.

Inilah perkara yang sebenarnya menjadi USP gerai steamboat ini dan membawa pelanggan terus-menerus berkunjung.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *