Hikayat Bisnes Mengarut Part 3

Satu mitos yang ada dalam kepala usahawan adalah kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant. Ini adalah satu mitos lagi tahyul dan dongeng yang telah memerangkap ramai usahawan yang berhati mulia dan berjiwa besar.

Sebenarnya, tidak akan perkaitan antara tahap syariah-compliant produk dan etika bisnes sesuatu syarikat. Itu sebenarnya adalah atas kebijaksanaan pengusaha syarikat tersebut. Seperti yang kita lihat dalam entri sebelum ini, nama sahaja jual produk Islami tetapi kuat gebang dan kelentong.

Apa yang usahawan tersebut jual, saya malas nak cerita. Ada baiknya kita cerita industri lain yang dekat di hati kita iaitu industri makanan. Lebih spesifik lagi, restoran makanan segera. Saya berpeluang mendapat cerita di sebalik tabir industri ini dan bertemu dua contoh yang ekstrem.

Syarikat A mencanangkan produk yang halal dan toyyiban untuk pasaran umat Melayu Islam Malaysia. Syarikat B pula membawakan produk yang tidak halal untuk pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. (Faham-faham sendirilah burger daging apa yang Syarikat B bawakan)

Kehadiran Syarikat A disambut baik oleh masyarakat yang memang dahagakan produk halal dan toyyiban. Berbondong-bondong orang datang untuk datang makan ke restoran mereka. Para pelabur dan usahawan Muslim yang lain juga naik semangat dan mahu bersama mereka.

Syarikat A pantas menawarkan partnership untuk membuka cawangan. Secara teknikalnya mereka tidak boleh menawarkan francais kerana pada masa itu belum genap tiga tahun beroperasi. Ramai juga yang mengambil tawaran mereka itu atas dasar mahu menyebarkan gaya hidup Islami di samping buat duit yang halal lagi barokah.

Tapi, apa yang berlaku? Para partner yang membuka cawangan ini mendapati mereka tidak mendapat sokongan teknikal dan logistik seperti yang diharapkan. Peralatan dapur yang dibekalkan adalah second-hand, bekalan bahan mentah tidak sampai.

Para pelanggan yang datang kecewa kerana tidak dapat apa yang mereka mahukan. Kekecewaan partner lagilah tinggi kerana mereka telah melaburkan beratus-ratus ribu untuk membuka cawangan. Ada juga yang meminjam dari bank.

Nun di hujung sana, Syarikat B juga mendapat sambutan hangat dari pasaran Cina Non-Muslim Malaysia. Ramai datang untuk mendapat burger non-halal yang setaraf dengan Jepun, Singapura dan Taiwan. Bertalu-talu pertanyaan datang untuk partnership dan membuka francais.

Namun pemilik Syarikat B menolak untuk segera membuka francais dan partnership. Beliau sendiri terlebih dahulu membuka beberapa cawangan bagi menguji sistem dan logistik. Lebih penting lagi, beliau mahu memastikan bahawa bisnes ini betul-betul buat untung. Ini kerana franchisee membeli pelaburan dan bagi beliau adalah tidak beretika menjual pelaburan yang belum pasti keuntungannya.

Ini cerita sepanjang 5 tahun lepas. Sekarang apa sudah jadi dengan kedua-dua syarikat ini?

Banyak cawangan Syarikat A sudah tutup, tidak tahulah tinggal berapa sahaja. Syarikat B pula berkembang slow and steady.

Memang sangat frust melihat Syarikat A tersungkur, tapi kalau etika bisnes tak terjaga bagaimana bisnes hendak berkembang? Trust is currency – kepercayaan adalah matawang. Kalau itu tidak dipegang, bisnes yang ‘super halal’ jual kambing minum air zamzam makan kurma nabi pun boleh lingkup.

Bukan tidak ada syarikat yang produk dan etika bisnesnya kedua-duanya syariah-compliant. Banyak sebenarnya. Apa yang perlu diingat di sini adalah anggapan kalau syarikat itu produknya syariah-compliant maka etika bisnes mereka juga syariah-compliant itu adalah satu mitos.

Itu adalah kebijaksanaan dan pilihan tuan punya bisnes.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *