Month: June 2014

Seni Berfikir Memecah Kebuntuan: Menukar Sudut Pandang Memudahkan Mencari Jalan Keluar

Saya tidak ingat berapa lama Ustaz Ismail Chong membebel – mungkin setengah jam, mungkin sejam. Saya tadah telinga sahaja kerana tahu masalah berpunca dari saya sendiri.

Namun akhirnya saya tidak kisah pun berapa lama beliau membebel kerana saya mendapat satu mutiara berharaga.

Kata beliau, “Masalah tidak dapat diselesaikan pada tahap masalah tersebut berlaku.”

Terang beliau, bayangkan anda sesat di dalam hutam. Sudah lama berjalan tetapi tidak ketemu juga jalan keluar. Anda sudah hampir putus asa tetapi anda terjumpa sebuah bukit. Terus sahaja anda panjat ke puncak dan dapat lihat keseluruhan kawasan hutan.

Dari puncak barulah anda dapat lihat anda sebenarnya berpusing-pusing di tempat yang sama. Jalan keluar pula sebenarnya di sebalik busut yang sudah banyak kali anda lintasi.

Nah, mudah bukan mencari jalan keluar dari aras yang lebih tinggi? Sama juga halnya dengan melalui maze atau pagar sesat. Apabila berada di dalam anda mudah menemui jalan buntu tetapi jika dilihat dari atas, jalan keluar jelas terbentang di depan mata.

Begitu juga dalam kehidupan seharian, kita mudah buntu apabila kita ‘tenggelam’ dalam masalah tersebut. Tetapi bila kita dapat ke aras lebih tinggi dan melihat keseluruhan masalah secara objektif semuanya akan kelihatan enteng sahaja.

Soalnya, bagaimana kita hendak pergi ke aras yang lebih tinggi? Nantikan kupasan dalam entri seterusnya.

Tidak Semua Projek Besar Perlu Modal Ratus Ribu

Antara projek besar itu adalah siri animasi – kerana apa yang paling penting adalah mencipta konsep dan watak yang disukai audiens.

Oleh sebab itu kami tidak mohon geran.

Kerana itu jugalah kami tidak pitching kepada stesen TV.

Keupayaan mencipta konsep dan watak animasi yang menarik tidak ada kena-mengena dengan jumlah wang di tangan. Ini soal ‘taste’, seni dan keberanian. Malah, wang yang banyak mungkin mengalihkan perhatian daripada perkara pokok yang patut difokuskan.

Bila wang banyak, kita cenderung untuk sibuk dengan perkara-perkara picisan. Sewa ofis di mana, mahu cat dinding warna apa, beli kereta apa dan seribu satu kemengarutan lain. Itulah yang berlaku kepada rakan kepada rakan saya, habis duit RM200,000 setup studio animasi tetapi tiada sebarang hasil.

Tapi bila kami ada duit cukup sekadar untuk perkara yang betul-betul wajib, kami fokus untuk mencipta konsep & watak yang menarik. Dengan mencuri masa di celah-celah tugas dan projek lain, dengan izinNya kami berjaya menghasilkan video pertama minggu lepas bertajuk Alif Ba Ta.


Alhamdulillah, hipotesis awal kami ternyata betul bagi audiens Malaysia. Data Audience Retention dari YouTube menunjukkan video kami berjaya mengekalkan perhatian penonton hingga ke akhirnya. Secara puratanya, kami mencapai aras above average bagi keseluruhan video.

Mengikut Business Model Canvas, ini bermakna kami telah berjaya mencapai padanan antara blok Value Proposition dan Customer Segment. Maka selesai satu aspek penting dan selepas ini kami boleh fokus untuk membina blok-blok business model yang lain terutamaya Revenue Stream & Cost Structure.

Nantikan lebih banyak video daripada kami. Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Ada Pitching ke Stesen TV?

Adakah siri Meo & Mama pernah dicadangkan kepada mana-mana stesen TV?

Meo & Mama bukanlah siri yang ditolak konsepnya oleh stesen TV tetapi mengapa sengaja direka untuk terus ke web. Ada pelbagai saluran di web yang boleh digunakan antaranya YouTube, digital download dan iTunes.

Ada banyak sebab mengapa kami tidak mengendahkan untuk pitching ke stesen TV dan terus ke web. Memang pelik kerana banyak syarikat animasi lain mengejar kontrak stesen TV. Iyalah, syarikat boleh dapat RM46,000 setiap episod. Darabkan nilai tersebut dengan 13 episod satu musim jumlahnya memang menggiurkan – hampir setengah juta!
Namun itu cerita yang enak-enak sahaja, belum ambil kira keadaan industri animasi tempatan sekarang ini. Pada masa ini banyak syarikat animasi yang melangut kerana tidak ada projek dari stesen TV. Tidak kurang juga yang gulung tikar setelah berpanjangan tidak ada projek. Syarikat yang masih hidup pula terancam apabila ada syarikat-syarikat yang bukan berteraskan animasi turut masuk membida projek dan menang.
Eh, bagaimana pula syarikat-syarikat bukan berteraskan animasi tiba-tiba boleh hasilkan animasi pula? Antaranya kecanggihan teknologi membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan tool animasi berkuasa tinggi. Software terkini membolehkan seorang animator membuat kerja seluruh jabatan. 
Lebih simple lagi, asalkan ada duit mereka boleh beli sahaja kepakaran dan kapasiti penghasilan animasi. Mereka boleh menggajikan animator tempatan atau outsource sahaja ke luar negara. Saya sendiri pun berpartner dengan syarikat animasi bebas tempatan bagi projek ini.
Dari segi business model, tidak masuk akal sebenarnya pitching kepada stesen TV tempatan. Jika berjaya dipilih, syarikat animasi hanya menjadi seperti kontraktor semata-mata. Segala hak terhadap harta intelek (jenama, watak, dsbnya) dimiliki oleh stesen TV. Bandingkan pula dengan studio-studio gergasi animasi – mereka semua memegang harta intelek sebagai aset utama. Lihat bagaimana Marvel dilihat cukup bernilai untuk dibeli oleh Disney kerana harta intelek yang banyak dan meluas.

Satu lagi aset penting adalah audiens, iaitu mereka yang menonton dan membeli. Jika sudah ada audiens, mereka akan terus mengikuti kita tidak kira saluran apa yang digunakan. Sekiranya jual siri animasi ke TV maka kita bergantung harap kepada audiens milik mereka. Selalu terjadi siri animasi tempatan akhirnya diletakkan pada slot yang tidak ramai penonton pun.


Business Model yang kami cuba ini memang renyah kerana tidak ada jaminan pulangan yang besar dan perlu mencari audiens sendiri. Tetapi, modal yang dikeluarkan pun tidak banyak dan kami sebagai designer/animator/komposer/musician dapat menambah projek yang menarik dalam portfolio!

Alhamdulillah, kami sudah dapat menghasilkan preview animasi dan semakin hampir menghasilkan produk pertama.  Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi mendapatkan perkembangan terkini.