Psikologi Fundraising: Apa Yang Penyumbang Beli Sebenarnya?

Sebelum ini kita telah lihat bagaimana sebenarnya fundraising tidak jauh beza pun berbanding menjual barang lainnya. Duit daripada ramai individu berpindah milik dan dikumpulkan oleh sesuatu individu atau organisasi.

Persoalannya, apa yang pelanggan beli sebenarnya? Dalam konteks bisnes, selalunya orang beli produk, perkhidmatan atau gabungan kedua-duanya. Dalam konteks fundraising pula, tidak jelas apa yang ‘dijual’.

Kalau kita lihat dalam konteks bisnes, produk atau perkhidmatan sebenarnya memberikan satu atau beberapa Value Proposition kepada pelanggan. Antaranya performance, risk reduction, accessibility dan sebagainya.

Bila dilihat dari sudut pandang Value Proposition mudah sedikit untuk kita lihat apa yang ‘dibeli’ oleh para penyumbang.

Katakan Value Proposition Performance – sekiranya kita ada RM10 apa sangat yang boleh kita buat untuk membantu masyarakat. Mungkin duit minyak hendak cari orang yang hendak ditolong pun tak lepas. Tapi bila kita beri pada projek atau NGO, mungkin ada yang boleh beri makan sebuah keluarga sehari. Kalau pada kita habis seorang sekali makan sahaja.

Bagaimana pula dengan Value Proposition Risk Reduction? Kebanyakan daripada orang biasa tidak tahu siapa yang sebenarnya-benarnya memerlukan bantuan. Tambah pula banyak sindiket yang bertopengkan mengumpul derma. Projek atau NGO seharusnya mengurangkan risiko ini dengan memastikan wang penyumbang membawa manfaat sepatutnya.

Paling asas sekalipun, penyumbang ‘membayar’ NGO untuk Get Things Done atau menyelesaikan kewajipan mereka. Penyumbang rasa wajib membantu masyarakat tetapi tidak tahu bagaimana. Oleh itu projek atau NGO sebenarnya turut membantu para penyumbang selain sektor masyarakat yang menjadi sasaran NGO.

Tapi ini semua teknikal, kira-kira ringgit dan sen. Apa yang lebih penting adalah fitrah emosi manusia yang mendorong mereka untuk menyumbang.

Fitrah paling mendasar adalah dorongan semulajadi manusia yang mahu membantu orang lain. Mereka memang ada dorongan tersebut selagi tidak dihakis oleh pengalaman hidup yang negatif. Tapi ramai yang tidak ada masa atau keupayaan untuk membantu secara efektif. Oleh itu, menyumbang kepada NGO dilihat sebagai ‘jalan pintas’ untuk mereka.

Selain itu, manusia juga sebenarnya mencari harapan dan jalan membawa perubahan positif dalam dunia. Jadi mereka sangat suka bila ada pihak yang dapat menunjukkan dengan sumbangan sekian banyak akan dapat membawa sekian perubahan dalam dunia.

Ini adalah episod kedua dalam siri Psikologi Fundraising Untuk NGO. Mohon subscribe Grup Email Psikologi Fundraising supaya tidak terlepas siri ini dan memudahkan perbincangan lanjut.

Sertai Grup Email Kuasa Inisiatif

* indicates required

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *