Gelombang Merah Mahathir

Sekiranya anda menjunjung idealism reformasi lagi reformis, saya nasihatkan anda jangan teruskan baca. Kemungkinan besar anda akan sakit hati. Ini adalah penilaian realpolitik dan marketing pencalonan Tun Mahathir sebagai PM Pakatan Harapan. Segala idealism diketepikan sementara demi menilai Gelombang Merah Mahathir dari kacamata marhaen.

Make Malaysia Great Again – sebenarnya itulah intipati kempen Pakatan Harapan yang dikepalai Tun Mahathir. Mungkin agak aneh untuk menyamakan kempen Tun M dengan Trump kerana beliau adalah seorang politikus yang kompeten dan bukannya amatur yang main belasah sahaja. Namun apa yang pasti, Tun Mahathir melalui Bersatu membawa mesej yang populis lagi konservatif.

Apa yang menghalang Pakatan Rakyat untuk mendapat kemenangan pada PRU13? Kenapa tipping point tidak dapat dilepasi walaupun jumlah undi sudah majoriti?

Jawabnya golongan konservatif yakni Melayu Luar Bandar serta Melayu Bandar yang berminda Ketuanan Melayu masih tidak yakin Anwar bersama Pakatan Rakyat dapat menjamin hak-hak Melayu. Mereka mahu perubahan tetapi perubahan yang dicanang Anwar terlalu jauh untuk dijangkau akal dan hati mereka.

Antara prinsip dalam marketing adalah pengguna sebenarnya tidak mahu sesuatu yang benar-benar baru. Apa yang mereka mahukan adalah benda lama dalam cara yang baru. Oleh itu Bersatu menjadi wadah untuk para pengundi konservatif ini membuat perubahan dengan cara yang selamat. Atau dalam erti kata lain Bersatu adalah UMNO Baru Baru.

Jenama Anwar sudah terpukul teruk. Dua kali pusingan pertuduhan liwat telah menghancurkan nama beliau di mata pengundi konservatif. Ditambah pula dengan momokan bahawa beliau adalah ejen Amerika yang saban tahun dipalu di kampung-kampung. Kemudian para pengundi dapat lihat bagaimana golongan ‘liberal’ dalam Pakatan dapat bergerak bebas di bawah kepimpinan Anwar. Itu adalah satu mimpi ngeri buat mereka.

Jenama Tun M adalah jenama yang kuat. Namanya harum di segenap dunia. Pendiriannya yang tegas terhadap kuasa-kuasa besar tidak dapat disangkal. Dalam iklim konflik seperti sekarang di mana rakyat dibebani kos sara hidup yang meningkat dan pendapatan yang berkurang, personaliti kuat seperti Tun Mahathir akan ke hadapan. Anwar dilihat lemah kerana cuba menjaga hati semua pihak.

Persoalannya sekarang, adakah Tun Mahathir akan pergi ke daerah Trump yang berbaur xenophobia bagi mencipta suasana konflik yang lebih tegang?

Adakah beliau akan mengeluarkan manifesto menggempuar dan menghantar pulang PATI? Mengurangkan kebergantungan terhadap pelaburan dari China? Atau lebih ekstrem lagi membatalkan segala program pemutihan PATI yang dibuat di era Najib?

Itu semua adalah butang-butang panas ‘us versus them‘ yang boleh dipetik tanpa mengganggu gugat keharmonian kaum dalam negara. Pakejkan ‘us versus them‘ itu dalam konteks antarabangsa dan bukannya domestik. Sebabnya di kampung-kampung sekalipun sudah ramai pekerja dan peniaga asing. Projek-projek mega kendalian syarikat China di Malaysia bukan sahaja Melayu tidak dapat menumpang hasil, malah Cina Malaysia pun melopong juga.

Mood populis masih belum hilang dari iklim politik dunia. Duterte, BREXIT dan Trump berjaya meraih sokongan rakyat kebanyakan. Mereka sudah muak merempat di negara sendiri. Mengapa perlu tunggu 2050 andai Wawasan 2020 sudah terjangkau? Jika ini terus berlarutan tidak mustahil gelombang Merah Mahathir akan melanda Malaysia PRU14 ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *