Future Shock

Antara ‘penyakit’ yang akan melanda dunia pasca COVID19 adalah Future Shock. Penyakit ini tidak menyerang tubuh badan tetapi mencengkam minda dan perasaan. Future Shock tidak membawa maut tetapi mampu melumpuhkan individu dan komuniti dari berfungsi dengan normal dalam dunia baru pasca COVID19.

Istilah Future Shock dipopularkan mendiang Alvin Toffler dalam terbitan tahun 1970

COVID19 telah memacu dunia ke arah Industrial Revolution 4.0. Walaupun hanya sebulan dua yang berlalu dalam tempoh kawalan pergerakan, tetapi pergerakan pasaran adalah bagaikan sepuluh tahun. Ini yang membawa Future Shock kepada jutaan manusia dalam dunia pasca COVID19.

Kita tahu tentang Culture Shock iaitu Kejutan Budaya di mana segala habit, tingkah laku dan budaya kita bercanggah dengan tanah asing. Culture Shock menyebabkan seseorang dilihat canggung malah kurang ajar di tanah asing. Percanggahan budaya ini merencatkan interaksi dan membantutkan peluang ekonomi.

Sesetengah Culture Shock hanya menghilangkan perkara kegemaran. Orang Kuala Lumpur yang tiba-tiba perlu berkerja di Jakarta selama setahun mungkin merindui sarapan nasi lemak. Dia mungkin kurang semangat untuk berkerja tetapi dia tetap produktif.

Namun jarak budaya yang lebih jauh akan membawa Culture Shock yang lebih parah. Keengganan seorang Melayu Islam untuk lepak di pub selepas kerja mungkin membawa kehilangan peluang untuk naik pangkat dalam syarikat Jepun. Dia dilihat ‘tidak mesra’ dan tidak masuk dalam budaya korporat walaupun sangat produktif buat kerja.

Seteruk mana pun Culture Shock, individu yang mengalaminya tetap mampu untuk kembali ke tanah asal kampung halaman di mana dia akan diterima. Segala perlakuannya dilihat molek dan ‘jhuruh’ lantas membolehkannya menjadi individu yang produktif dalam masyarakat.

Di sini terletaknya cabaran Future Shock, kejutan yang dialami bersifat kekal dan tidak ada kampung untuk kita kembali. Tambahan pula pecutan yang dibawa oleh COVID19 telah membawa Industrial Revolution 4.0 paling tidak sepuluh tahun ke hadapan.

Habis PKP sekalipun, sekolah masih belum dibuka, kedai juga tidak dibuka semuanya. Malah, akan ada yang tidak akan kembali dibuka selama-lamanya. Pejabat juga akan lengang dengan kakitangan hanya datang secara bergiliran.

Ini membawa ciri-ciri ekonomi Industrial Revolution 4.0 secara mengejut dalam realiti kita. Home schooling, work from home dan online shopping akan terus mendominasi kehidupan seharian. Tidak lagi sekolah, pejabat dan shopping mall.

Dalam masa yang sama, jutaan individu masih bergantung pendapatan pada sekolah, pejabat dan shopping mall. Dari para pemandu van sekolah, peniaga kantin sekolah serta food court, tukang sapu, cashier sehinggalah para pelabur hartanah baik skala besar dan kecil.

Sekiranya mereka masih terpempan dan tidak mampu bergerak akibat Future Shock maka mereka akan segera habis simpanan dan hilang punca pendapatan. Pihak pemerintah mungkin cuba menggunakan bahasa lunak ‘new normal’ namun tidak dapat tidak Future Shock akan tetap mencengkam jutaan rakyat.

Business model akan dijungkir balik dari alif sampai ya, A sampai Z. Banyak bisnes akan menjadi tidak relevan dengan kedatangan Industrial Revolution 4.0 yang mengejut. Perhatikan sahaja shopping mall, berapa banyak bisnes hilang apabila ibu-bapa tidak lagi membawa anak-anak ke shopping mall pasca COVID19. Kedai permainan kanak-kanak, indoor playground dan fast food akan sepi.

Segmen yang tidak bergantung kepada kehadiran kanak-kanak juga akan terjejas. Business model shopping mall bergantung kepada para pengunjung melepak lama bagi memaksimakan jualan. Namun berapa kerat sahaja akan lepak di café jika masih takut dijangkiti? Siapa pula yang akan solat di surau shopping mall kalau tempat yang disediakan sempit?

COVID19 telah mengubah budaya berbelanja masyarakat, ramai tidak lagi akan sewenang-wenangnya melepak di shopping mall untuk window shopping. Seboleh mungkin, segalanya akan dibeli melalui online. Lebih-lebih lagi apabila kelajuan delivery online shopping kembali pantas selepas PKP.

Banyak lagi sektor akan berubah pasca COVID19 tetapi buat masa ini apa yang penting adalah mengakui ‘penyakit’ Future Shock. Tanpa mengakui penyakit ini tidak mungkin kita akan dapat kembali bergerak ke hadapan.

Industrial Revolution 4.0 telah tiba, kita semua harus belajar cara untuk hidup dalam dunia baru ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *