Ada Pitching ke Stesen TV?

Adakah siri Meo & Mama pernah dicadangkan kepada mana-mana stesen TV?

Meo & Mama bukanlah siri yang ditolak konsepnya oleh stesen TV tetapi mengapa sengaja direka untuk terus ke web. Ada pelbagai saluran di web yang boleh digunakan antaranya YouTube, digital download dan iTunes.

Ada banyak sebab mengapa kami tidak mengendahkan untuk pitching ke stesen TV dan terus ke web. Memang pelik kerana banyak syarikat animasi lain mengejar kontrak stesen TV. Iyalah, syarikat boleh dapat RM46,000 setiap episod. Darabkan nilai tersebut dengan 13 episod satu musim jumlahnya memang menggiurkan – hampir setengah juta!
Namun itu cerita yang enak-enak sahaja, belum ambil kira keadaan industri animasi tempatan sekarang ini. Pada masa ini banyak syarikat animasi yang melangut kerana tidak ada projek dari stesen TV. Tidak kurang juga yang gulung tikar setelah berpanjangan tidak ada projek. Syarikat yang masih hidup pula terancam apabila ada syarikat-syarikat yang bukan berteraskan animasi turut masuk membida projek dan menang.
Eh, bagaimana pula syarikat-syarikat bukan berteraskan animasi tiba-tiba boleh hasilkan animasi pula? Antaranya kecanggihan teknologi membolehkan sesiapa sahaja mendapatkan tool animasi berkuasa tinggi. Software terkini membolehkan seorang animator membuat kerja seluruh jabatan. 
Lebih simple lagi, asalkan ada duit mereka boleh beli sahaja kepakaran dan kapasiti penghasilan animasi. Mereka boleh menggajikan animator tempatan atau outsource sahaja ke luar negara. Saya sendiri pun berpartner dengan syarikat animasi bebas tempatan bagi projek ini.
Dari segi business model, tidak masuk akal sebenarnya pitching kepada stesen TV tempatan. Jika berjaya dipilih, syarikat animasi hanya menjadi seperti kontraktor semata-mata. Segala hak terhadap harta intelek (jenama, watak, dsbnya) dimiliki oleh stesen TV. Bandingkan pula dengan studio-studio gergasi animasi – mereka semua memegang harta intelek sebagai aset utama. Lihat bagaimana Marvel dilihat cukup bernilai untuk dibeli oleh Disney kerana harta intelek yang banyak dan meluas.

Satu lagi aset penting adalah audiens, iaitu mereka yang menonton dan membeli. Jika sudah ada audiens, mereka akan terus mengikuti kita tidak kira saluran apa yang digunakan. Sekiranya jual siri animasi ke TV maka kita bergantung harap kepada audiens milik mereka. Selalu terjadi siri animasi tempatan akhirnya diletakkan pada slot yang tidak ramai penonton pun.


Business Model yang kami cuba ini memang renyah kerana tidak ada jaminan pulangan yang besar dan perlu mencari audiens sendiri. Tetapi, modal yang dikeluarkan pun tidak banyak dan kami sebagai designer/animator/komposer/musician dapat menambah projek yang menarik dalam portfolio!

Alhamdulillah, kami sudah dapat menghasilkan preview animasi dan semakin hampir menghasilkan produk pertama.  Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube bagi mendapatkan perkembangan terkini.