Apa Itu Model Bisnes
Model bisnes adalah definisi bagaimana sesebuah organisasi mengumpul, mencipta dan menyalurkan nilai. Nilai tesebut boleh jadi nilai ekonomi, nilai sosial atau lain-lain. Model bisnes adalah kerangka bagaimana sesebuah organisasi menukar sumber yang ada kepada sesuatu yang lebih bernilai.
Analogi yang mudah adalah membayangkan sebuah enjin. Secara asasnya enjin menukar bahan bakar kepada pergerakan. Namun bukan semua bahan bakar itu bertukar menjadi pergerakan kerana hilang dalam bentuk haba, geseran dan bunyi.
Bisnes pula menukar modal/sumber menjadi nilai/keuntungan, tetapi ada modal yang habis sebagai kos menjalankan perniagaan. Kos boleh jadi kos pengeluaran, sewa, pengedaran, gaji dan sebagainya.
Enjin yang bagus adalah yang dapat menukarkan sebanyak mungkin bahan bakar menjadi pergerakan dan tidak terbuang dalam bentuk lain. Berapa peratus bahan bakar bertukar menjadi pergerakan? Lebih tinggi peratusnya, lebih tinggi tahap efisiennya. Begitu juga dengan bisnes, kita mahu bisnes yang efisien yang dapat menukar modal menjadi keuntungan!