Fourth Industrial Revolution

Tsunami Industri Umrah

Buat sekian lama, pakej umrah menjadi suaka selamat bagi pengusaha agensi pelancongan. Visa dikawal ketat oleh kerajaan Arab Saudi dan harus melalui agensi pelancongan yang diiktiraf. Bahkan agensi pelancongan yang dikesan menjual visa kepada jemaah umrah yang pergi secara individu akan dikenakan kompaun yang tinggi.

Masuk tahun 2019, kerajaan Arab Saudi mengorak langkah drastik bekerjasama dengan Agoda bagi menawarkan perkhidmatan e-Umrah. Malah visa boleh dipohon oleh jemaah individu terus secara online. Ini semua bagi membantu usaha kerajaan Arab Saudi mencapai sasaran 30 juta pengunjung setiap tahun. Mereka tidak mahu lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum.

Semenjak Muhammad Bin Salman mengambil alih tampuk pemerintahan, Arab Saudi seakan jatuh cinta dengan dunia startup Silicon Valley. Pada tahun 2016 tidak semena-mena mereka melaburkan USD3.5 bilion ke dalam Uber. Oleh itu kerjasama mereka dengan Agoda tidaklah menghairankan.

Perkembangan ini bakal memberi pukulan dahsyat kepada para pengusaha agensi umrah di Malaysia. Selama ini mereka hanya bersaing dalam pasaran tempatan yang terkawal. Kini mereka perlu menghadapi sepak terajang persaingan global.

Walaupun perolehan pengusaha agensi umrah boleh mencecah jutaan ringgit setiap tahun, margin keuntungan mereka sangat tipis. Kebanyakan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil perolehan untuk menjadi modal pusingan seterusnya. Mereka ibarat kais tahun makan tahun.

Agoda pula adalah startup gergasi dengan suntikan modal ratusan juta dari pelabur yang tidak mengharapkan pulangan segera. Mereka boleh bakar duit bertahun-tahun sebelum mencapai keuntungan. Agoda boleh mengais bertahun-tahun kerana dedak terus ditabur ramai penternak.

Struktur kos juga jauh berbeza di mana para pengusaha agensi umrah berhadapan ketempangan ketara. Mereka perlu mengeluarkan kos terlebih dahulu untuk pajakan hotel dan tempahan tiket pesawat. Jika tidak, mereka tidak dapat menjual pakej pada harga yang murah. Lebih teruk lagi, mereka mungkin tidak dapat menjual pakej langsung kerana ketiadaan bilik dan pesawat jika tidak menempah lebih awal.

Struktur Kos Agensi Umrah
Struktur Kos Agoda

Pengusaha agensi umrah mempunyai kos tetap yang besar dengan untung terhad. Agoda pula mempunyai kos boleh ubah dan untung yang tidak terhad. Mereka tidak mempunyai kos inventori dan kos pembangunan platform pula telah balik modal melalui jualan bilik hotel destinasi lain selama ini.

Agoda dengan mudah boleh membuli pasaran ibarat askar dengan peluru infiniti. Para pengusaha agensi umrah pula ibarat hanya ada sekotak peluru. Di lapangan Google Ads sahaja para pengusaha agensi umrah sudah boleh terkorban. Agoda boleh membida harga yang jauh lebih tinggi berbanding pengusaha agensi umrah tempatan. Sistem mereka juga sudah boleh menjana iklan secara automatik. Setiap hasil carian tentang umrah, hotel Mekah dan Madinah akan didominasi Agoda.

Kita sudah boleh lihat sekarang kesan Agoda dalam harga bidaan Google Ads. Sebagai contoh kata kunci ‘Hotel Bandung’ berharga RM2.20 setiap klik sedangkan ‘Hotel Mekah’ hanya RM1.80 per klik. Kata kunci ‘Pakej Umrah’ pula hanya RM0.76 per klik. Selepas ini berapa pula harganya kalau Agoda sudah membida kata kunci tersebut?

Seperkara lagi, startup platform gergasi biasa mengikut skrip seperti Uber. Mereka boleh bakar duit mensubsidi perkhidmatan bertahun-tahun sehingga pesaing melingkup. Dalam tempoh itu app mereka sudah dalam smartphone setiap pelanggan. Apabila sudah dominan, harga dinaikkan sesuka hati. Para pelanggan yang sudah dirantai smartphone mereka akan pasrah dan akur sahaja. Adakah para pengusaha agensi umrah bersedia untuk menghadapi perang tanpa penghujung ini?

Tsunami Industri Media: Instafamous vs Majalah Fesyen

Adakah saban minggu anda akan membeli majalah yang dibintangi oleh seorang model sahaja? Adakah pengiklan akan mengiklan di majalah sedemikian?

Sudah tentu tidak kerana audiens akan terlalu kecil dan majalah tersebut akan terlalu nipis untuk dicetak. Jadi bahan gunjingan pencetak dan pengedar sahaja jawabnya.

Tetapi, itulah yang berlaku di Instagram sekarang. Setiap akaun ‘instafamous’ sebenarnya adalah majalah satu model. Dari awal sampai habis hanya muka perempuan itu sahaja.

Pelik bin ajaib entah bagaimana mereka boleh terkenal dan ramai pengikut. Mungkin pernah berlakon drama, masuk pertandingan takpun kerana orang kata mereka cantik. Kemudian sampai satu tahap mereka terkenal semata-mata kerana mereka terkenal. Nama mereka sudah viral dan berbondong-bondonglah pengikut baru.

Pada tahap ini selalunya dua perkara berlaku:

Pertama, mereka menjual slot iklan. Walau kononnya dikatakan review tetapi sebenarnya iklan. Entah, saya pun tak faham bahasa korup mereka ini.

Kedua; mereka boleh jual produk mereka sendiri. Ada yang betul-betul reka produk sendiri, buat sendiri. Tidak kurang juga yang ambil sahaja dari pengilang OEM dan tempel nama mereka.

Pulangan ratusan ringgit sudah ada dalam tangan. Empat atau lima angka juga tidak mustahil. Apa yang pasti, mereka buat penerbit majalah fesyen gigit jari.

Ekosistem Majalah Fesyen
Ekosistem Majalah Fesyen

Struktur kos majalah fesyen sangat besar dan kompleks. Perlu ada editor, penulis, fotografer, eksekutif jualan, pencetak, pengedar dan macam-macam lagi. Kemudian perlu ada ‘mak nyah’ untuk jadi make-up artis. Tak tahu kenapa tapi editor perempuan bertudung pun kata kena sentuhan tangan nyah juga baru jadi.

Instafamous pula hanya berbekalkan smartphone dan mungkin sebuah DSLR. Fotografer pula boleh kerah kawan, teman tetapi mesra, tunang atau pasangan. Lagi power, selfie sahaja memanjang. Semua boleh buat sendiri – dari make up, ambil gambar, menulis, sehinggalah jual iklan atau produk.

Ekosistem Instafamous
Ekosistem Instafamous

Mungkin kadar iklan melalui Instafamous ini lebih murah berbanding majalah fesyen. Tetapi apa yang penting semua itu masuk dalam kocek mereka dan tidak perlu dikongsi dengan ramai orang. Namun iklan tersebut masih berkesan dan membawa pulangan lumayan kepada pengiklan. Inilah corak ‘disintermediation’ yang berlaku merentasi industri media dan anda boleh bayangkan berapa ramai yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

[sc name=”mailchimp”]

Baucar Buku Pembunuh Industri Buku?

Pasti ramai yang garu kepala, bagaimana durian runtuh boleh bertukar menjadi racun? Bagi memahami bagaimana rezeki terpijak bertukar menjadi perosak industri kita perlu lihat industri konten secara lebih luas.

Secara amnya kita boleh bahagikan industri konten kepada tiga; filem & TV, muzik dan buku. Antara ketiga-tiga industri ini yang mana satu secara konsisten eksport ke luar negara?

Sudah tentu industri muzik bukan? Saban tahun kita ada artis yang dapat menjual puluhan ribu album di luar negara – antaranya Siti Nurhaliza, Raihan, Too Phat, Sheila Amzah dan Yuna. Siapa pula penulis atau pengarah yang berjaya menjual filem dan buku di luar negara pada skala yang sama? Sukar untuk mencari contoh bukan?

Apa insentif dan subsidi kerajaan untuk industri muzik? Filem ada skim wajib tayang. Buku kini ada BB1M. Industri muzik tiada semua itu. Namun kenapa filem dan buku masih sekadar jaguh kampung?

Apa persamaan skim wajib tayang dan BB1M? Kedua-duanya memberi jaminan audiens. Bajet produksi filem dibuat untuk boleh untung dengan audiens skim wajib tayang. Drama TV pula direka untuk untung dengan bayaran yang diberi RTM, Media Prima atau Astro. Mereka tidak mengejar royalti untuk ulang tayang atau dijual lagi kepada stesen lain. Bila ada BB1M para penerbit banyak menjual buku dalam pakej 3 untuk RM50 mengikut denominasi baucar buku.

Jaminan audiens seperti ini menyebabkan pengkarya tidak mempunyai insentif untuk mencipta sesuatu yang luar biasa. Cukup sekadar buat yang biasa-biasa untuk audiens yang kekal di takuk lama. Banyak skrip filem dan episod drama TV ditulis cincai dalam masa sehari dua berkurung di bilik hotel.

BB1M mengherot pasaran buku dengan membawa kelompok audiens yang selama ini tidak baca buku. Mereka ‘terpaksa’ beli buku demi menghabiskan subsidi kerajaan. Jadi mereka sambar sahaja novel-novel dan travelog-travelog yang kononnya ‘deep’ lagi ‘kiri’. Bila syarat penggunaan BB1M dilonggarkan cepat sahaja mereka beralih kepada gajet dan perkara-perkara lain yang lebih menyeronokkan.

Sebelum BB1M sekalipun data menunjukkan banyak buku bestseller sebenarnya bukanlah dibeli kelompok pembaca tegar. Buku resepi, buku teori konspirasi dan novel cinta mendominasi carta bestseller. Konten-konten bertaraf tabloid tersebut kini penuh di internet. Cari sahajalah di blog, Facebook dan Wattpad – segalanya percuma dan lebih sensasi. Maka terngangalah para pemain industri buku yang tiba-tiba kehilangan pembeli.

[sc name=”mailchimp” ]

Tsunami Industri Media

Tahun 2018 dijangka menjadi titik tolak revolusi total industri media. Perubahan demi perubahan yang terkumpul sejak sedekad yang lepas kini ibarat air dalam empangan yang menanti pecah. Akan ada banyak perkara lama yang akan hancur dan dalam masa yang sama pelbagai kemungkinan baru terungkai untuk semua.

Mengapakah perubahan ini tidak dapat ditahan lagi? Apa yang akan berlaku kepada industri media? Ke manakah para pemain industri harus membawa diri selepas ini?

Sebelum kita menebak masa hadapan, ada baiknya kita teliti kembali bagaimana industri media berfungsi selama ini. Fahami betul-betul rantaian nilai yang membolehkan industri ini menjana berbilion dolar dekad demi dekad. Selepas itu baru kita lihat bagaimana rantaian nilai ini diputuskan satu demi satu.

Photo 22-01-2018, 3 41 52 PM
Industri Media Lama

Secara asasnya industri media berfungsi seperti berikut:

  1. Syarikat media mendapatkan lesen untuk menerbit.
  2. Berita dan/atau hiburan dipakejkan dalam bentuk akhbar, majalah, saluran TV atau saluran radio. Berita dan hiburan dibeli sama ada dari pembekal luar atau menggaji tim produksi sendiri.
  3. Akhbar, majalah, saluran TV dan saluran radio sebenarnya semua sama – iaitu kotak-kotak yang menarik audiens. Kotak-kotak ini pula dihidangkan di atas rak yang terhad. Orang ramai ‘terpaksa’ menjadi audiens salah satu kotak yang ditawarkan kerana tidak ada pilihan lain.
  4. Syarikat media menjual audiens ini sebagai slot iklan kepada para pemilik bisnes. Slot iklan adalah sumber yang berharga kerana bekalannya terhad dan mampu menjana jualan yang besar.

Pada era terdahulu, syarikat media sangat berkuasa kerana mereka dapat mengawal aliran maklumat dan marketing melalui kotak-kotak yang mereka cipta. Kotak-kotak tersebut pula tidak banyak saingan di pasaran kerana lesen adalah terhad. Harga sepenuhnya dalam kawalan mereka.

Artificial scarcity ini pula ditambah dengan keterhadan sebenar akibat kos tinggi dalam membina infrastruktur. Memulakan bisnes majalah yang berdaya saing sahaja sudah memerlukan modal ratusan ribu. Itu bisnes media yang paling murah, belum lagi cerita bisnes lain yang memerlukan modal jutaan ringgit.

Maka, sesiapa sahaja yang berjaya mencipta saluran media yang berdaya saing menikmati monopoli tempatan yang membawa pulangan besar tahun demi tahun.

Namun, mimpi indah tersebut sudah berakhir. Bagaimana pula industri media berfungsi sekarang?

  1. Lesen tidak lagi diperlukan.
  2. Berita dan hiburan boleh didapati di seluruh internet dengan mudah dan murah. Copy paste, rehash, ‘curi’ atau bayar murah-murah kepada pencipta konten.
  3. Mesin mempakejkan semua ini menjadi aliran maklumat yang dibina khusus untuk setiap individu.
  4. Mesin menjual slot iklan secara komoditi melalui sistem automatik kepada sesiapa sahaja yang mahu membeli.

Apakah mesin tersebut? Siapa lagi kalau bukan Facebook & Google! Dua syarikat ini sudah menjadi duopoli global yang menyedut segala bajet pengiklanan.

Mereka boleh menjual slot iklan dengan murah kerana mereka hampir tiada kos dalam mencipta konten. Facebook langsung tidak berkongsi hasil dengan anda apabila mereka menjual slot iklan di sebelah gambar bayi anda yang baru lahir kepada Nestle untuk mensasarkan rakan-rakan anda. Google ada juga berkongsi kalau anda ikuti program AdSense atau YouTube Partners tetapi nisbahnya sangatlah rendah.

Industri Media Sekarang
Industri Media Sekarang

Perubahan yang lebih mendasar adalah maklumat tidak lagi perlu melalui kotak-kotak yang dicipta oleh industri media yang lama. Berita, hiburan dan iklan boleh sampai terus kepada audiens yang diinginkan. Asal sahaja audiens tersebut mahu mendengar apa yang anda mahu katakan.

Ini baru pandangan sekali lalu perubahan yang melanda industri media. Dalam artikel-artikel yang akan datang kami akan membedah satu per satu tsunami yang membadai sektor-sektor dalam industri media.  Kami akan mengupas bagaimana Internet menjungkirbalik keseluruhan ekosistem industri media.

[sc name=”mailchimp”]