Definisi Diri
Mungkin soalan yang paling sukar untuk saya jawab adalah “Kamu kerja apa?”
Jika diikutkan ijazah, maka yang tertera adalah Computer Science. Pengkhususan tahun akhir pula dalan Security & Networking. Kebiasaannya akan menjadi Network Engineer atau Analyst tetapi kerja saya jauh menyimpang dari itu.
Jika diikutkan jumlah wang yang masuk sejak graduasi paling banyak adalah dari kerja-kerja terjemahan diikuti fotografi, IT dan training. Jadi kalau duit ukurannya, maka saya adalah seorang penterjemah. Namun hasil kerja saya yang paling banyak dilihat oleh orang awam adalah fotografi dan ramai yang menganggap saya fotografer freelance. Ada pula yang mengenali saya sebagai penulis
Bagaimana ini boleh berlaku?
Bila bekerja sendiri, tidak semestinya masa sebulan diperlukan untuk melengkapkan keperluan kewangan sebulan. Ada masanya dua minggu, jika ada durian runtuh dua hari sahaja sudah cukup. Kena pula waktu yang lembap, dua bulan baru dapat mencukupi keperluan sebulan. Pendek kata, saya ada waktu lebih.
Waktu lebihan sambil menunggu tugasan seterusnya atau menunggu bayaran itu digunakan untuk belajar kemahiran lain dan buat kerja freelance guna kemahiran lain pula. Jika tidak pun saya ambil cuti seminggu dua golek-golek di rumah.
Kebanyakan orang keliru antara pekerjaan dan identiti seseorang itu. Selama ini kebanyakan orang hanya mempunyai satu pekerjaan sepanjang hayatnya lantas menjadikan pekerjaan itu sinonim dengan siapa orang itu. Namun kini perbuahan pasaran kerja dan k-ekonomi membolehkan serta memerlukan seseorang itu membuat banyak kerja.
Apa yang pasti, saya banyak buat kerja-kerja kreatif yang memerlukan saya memikirkan penyelesaian-penyelesaian baru. Mungkin saya patut letak jawatan saya Creative Executive – Eksekutif Kreatif sahaja.
Ekskutif Kreatif – menarik juga bunyinya…