Editor Sarikata
Dalam proses pembikinan video Jalan-Jalan Cari Pasal, saya mendapati ada keperluan untuk meletakkan sarikata. Namun melakukan ‘hard sub’ iaitu menulis terus sarikata ke atas video dalam editor video adalah tidak praktikal kerana sukar untuk diedit dan diuruskan. ‘Soft Sub’ yang diletakkan dalam fail lain (contohnya format .SRT) pula boleh dibuat menggunakan editor teks biasa tetapi sukar untuk dihasilkan kerana perlu meletakkan timecode (kod masa) secara manual.
Bagi mengatasi masalah tersebut, ada aplikasi editor sarikata yang membolehkan pengguna ‘sync’ video dengan sarikata yang dihasilkan. Salah satu aplikasi yang terbukti berguna adalah Subtitles theEditor untuk Mac yang boleh didownload terus dari Mac AppStore.
Aplikasi ini bukan sahaja sangat membantu dalam penghasilan sarikata baru malah sangat berguna untuk menganjakkan dan ‘re-sync’ timecode apabila panjang video berubah. Aplikasi ini turut membantu dalam proses penterjemahan sarikata di mana penterjemah boleh melihat babak video yang berkaitan serentak dengan teks yang diedit.
Sekiranya tiada bajet, alternatif percuma adalah Subs Factory. Aplikasi ini mempunyai set alatan yang sama cuma kurang kualiti dari segi tahap mesra pengguna dan stabiliti.