Eksploitasi Emosi & Soul Searching
Selalunya saya diam sahaja isu boikot McDonalds, Nestle, Coca-Cola dan kuncu-kuncunya. Tapi kenapa sekarang saya nak cerita tentang emotional attachment kita terhadap mereka yang dibina melalui kempen marketing mereka? Emotional attachment yang menyebabkan kita liat hendak boikot?
Marketing adalah perkara yang saya buat setiap hari tidak kiralah hari itu saya memakai topi penulis, videographer, trainer atau sebagainya. Saya juga berkongsi dan mengajar tentang marketing. Propaganda politik untuk PRU saya pernah buat.
Marketing menggunakan kefahaman tentang psikologi manusia bagi menghasilkan kesedaran dan tindakan terhadap sesuatu perkara. Selalunya untuk buat orang tahu dan beli sesuatu produk. Produk yang dijual itu pula seharusnya memberi manfaat kepada pembeli.
Namun dalam banyak keadaan kuasa marketing disalahguna bagi membuatkan pengguna membeli produk yang tidak bermanfaat. Lebih teruk bukan setakat tidak memberi manfaat malah membawa mudharat. Semuanya atas nama keuntungan peribadi.
Sebetulnya saya ada hubungan yang komplikated dengan marketing. Saya asalnya tidak suka marketing, malah memandang jijik terhadap marketing. Tapi bila terlibat dengan bisnes maka mahu tidak mahu saya terpaksa jugalah belajar dan seterusnya menggunakan marketing. Kemudian saya mengajar tentang marketing.
Jadinya saya sekarang mengajar tentang perkara yang saya asalnya tidak suka.
Pada satu sisi saya melihat masih ramai usahawan yang memang clueless tentang marketing. Produk mereka yang bagus dan bermanfaat tidak sampai kepada mereka yang perlu dan mahu beli. Sudahnya bisnes bergerak dengan sangat perlahan dan akhirnya berhenti terus.
Sisi lain pula ada kelompok ‘usahawan’ yang overload segala trik marketing bagi menjual hampas dan sampah kepada pengguna. Punyalah overload sehinggakan pengguna yang tahu mereka jual sampah pun beli juga lagi.
Tapi untuk meninggalkan terus marketing pun tak boleh juga. NGO pun perlukan marketing untuk mengumpulkan dana dan membantu masyarakat. Pusat kutipan zakat pun boleh mengambil manfaat dari marketing.
Sejujurnya saya masih berbelah bahagi belajar dan mengajar marketing sepertimana berbelah bahagi belajar dan mengajar menggunakan senjata api. Jadi saya hendak menulis tentang eksploitasi emosi yang digunakan oleh jenama-jenama yang menjadi sasaran boikot.
Mungkin dengan itu saya dapat perhalusi apa yang boleh dan tak boleh dalam marketing. Apa yang mulia dan apa yang hina. Apa yang halal, harus, haram dan syubhah.