Filem & Islam Episod 1
Tajuk panjangnya, Seminar Nilai-Nilai Murni Dalam Filem dan Drama Menurut Pandangan Islam. Tapi di sini kita sebut sahaja Filem & Islam. Alhamdulillah, seminar ini telah berlangsung di FINAS pada 21 Mei 2015 menampilkan Tuan Zabidi Mohamed dan Dr. Mohammed Asri Zainal Abidin.
Tuan Zabidi Mohamed (Gambar dari FB rasmi FINAS) |
- Cerdik
- Nilai
- Tahyul / Khurafat
- Sensitiviti Agama
- Integriti
- Budaya Positif
- Kelucahan
- Israiliyat
- Universal
- Plagiarism
- Patuh Syariah
- Lakonan
Filem yang cerdik tidak memperbodohkan penonton walaupun menceritakan tentang kebodohan dalam karya tersebut.
Nilai
Pastikan filem tersebut mempunyai nilai-nilai positif. Lebih-lebih lagi nilai budaya tempatan seperti taat ibu bapa, hormat-menghormati dan bergotong-royong.
Syirik / Tahyul / Khurafat
Elakkan wujud sebarang elemen syirik, tahyul atau khurafat dalam karya. Syirik adalah menyembah selain daripada Allah atau menyembah sesuatu setaraf dengan Allah. Tahyul pula adalah kepercayaan karut dan pantang-larang yang tidak berasas. Ciri utama khurafat pula adalah pemujaan terhadap makhluk bagi mencapai hajat tertentu.
Sensitiviti Agama
Elakkan menyentuh sensitivti agama atau kaum lain sama ada secara tersurat atau tersirat.
Integriti
Protagonis mesti bermaruah dan mengambil keputusan yang betul. Tuan Zabidi Mohamed mengangkat filem pendek Sitai – Jatidiri Anak Merdeka sebagai contoh. Walaupun protagonisnya adalah seorang budak sekolah rendah, beliau mengambil keputusan untuk mendahulukan keperluan bapanya berbanding dirinya sendiri.
Budaya Positif
Selain daripada menerapkan nilai-nilai positif dan amalan-amalan murni, satu aspek penting lain adalah tidak memasukkan unsur hedonisme yang melampau.
Kelucahan
Panduannya jelas dalam hal ini, tidak harus ada adegan seks dalam karya. Begitu juga tidak ada dialog lucah sama ada secara tersurat atau tersirat melalui frasa-frasa dwimakna.
Israiliyat
Kisah-kisah Israiliyat adalah cerita rekaan sumber Yahudi & Nasrani tetapi dianggap sebagai sebahagian daripada tradisi Islam. Bahaya kebanyakan kisah-kisah seperti ini kerana masyarakat menganggap kisah tersebut selari dengan ajaran Islam tetapi sebenarnya bertentangan.
Mengenalpasti kisah-kisah Israiliyat agak sukar kerana sudah sebati dalam masyarakat dan memerlukan pengetahuan yang luas serta mendalam. Tambahan pula ada tiga kategori kisah Israiliyat
Pembahagian Israiliyat:
I. Dibenarkan oleh Islam kerana tidak bercanggah dengan ajaran Islam
II. Diingkari oleh Islam kerana bercanggah dengan ajaran Islam
III. Tidak dibenarkan dan tidak juga diingkari oleh Islam
Universal / Kesejagatan
Karya tidak semestinya secara spesifik mengangkat ajaran daripada hadis atau Quran. Apa yang penting mesej yang dibawa dapat diterima semua bangsa dan agama serta audiens dapat memanfaatkannya.
Plagiarism
Kita boleh menghasilkan karya yang ‘inspired by’ tetapi jangan sekali-kali meniru bulat-bulat karya orang lain.
Patuh Syariah
Terdapat tiga komponen patuh syariah iaitu:
1. Aqidah
2. Akhlaq
3. Syariah
Aqidah
Aqidah yang dipaparkan harus sejajar dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jangan mengandungi aqidah lain seperti Syiah dan lain-lain ajaran yang menyimpang.
Akhlaq
Bagi aspek ini jangan menunjukkan perlakuan yang melampau seperti memaki-hamun dan menengking-nengking.
Syariah
Terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian iaitu aurat dan muhrim.
Muhrim
Dalam perkara ini harus dielakkan pelakon bukan muhrim berpegang tangan atau bersentuhan.
Aurat
Terdapat empat situasi
1. Pelakon yang di luar bertudung tetapi berlakon tidak bertudung – ini tidak baik dan tidak seharusnya berlaku
2. Pelakon yang di luar bertudung dan berlakon bertudung – ini yang sebaiknya
3. Pelakon yang di luar tidak bertudung dan berlakon tidak bertudung – ini dibenarkan
4. Pelakon yang di luar tidak bertudung dan berlakon bertudung – ini lebih baik berbanding situasi ketiga.
Lakonan
Pelakon Muslim tidak harus memaparkan adegan yang bertentangan dengan aqidah Islam seperti menyembah berhala, memakai salib dan yang sewaktu dengannya.
Kesimpulannya, filem Islami harus mengambil kesemua elemen ini secara keseluruhan. Bukannya menyempitkan fikiran terhadap elemen patuh syariah semata-mata.
—
Nantikan seterusnya catatan dari pembentangan Dr. MAZA dan sesi forum.