Hikayat Bisnes Mengarut Part 1
Isu harta intelek adalah isu yang dekat di hati saya. Bisnes saya pun banyak bersangkut-paut dengan pengurusan harta intelek.
Selama ini, banyak kes-kes mengarut melibatkan pencurian dan pemerdayaan harta intelek yang berlaku namun saya ‘berperang’ senyap-senyap sahaja, menyelamatkan pemilik harta intelek yang sempat saya tolong. Mereka yang merana dalam senyap selama ini dibiarkan sahaja atas alasan ‘menjaga ukhwah’ dalam industri training/penerbitan/muzik/filem tempatan yang ternyata luasanya hanya sekangkang kera.
Namun kes terbaru melibatkan Tuan Pakdi Suzardi M membuatkan saya memutuskan untuk mula memalu gendang perang. Sudah tiba masanya karyawan tulen diangkat dan masyarakat dilindungi daripada para penyangak serta pembelit!
Kes yang berlaku antara Pakdi dengan Coach Bahar adalah konten dalam blog Pakdi diambil bulat-bulat dan diletakkan dalam eBook Coach Bahar. Bukan setakat itu, Coach Bahar pula mengambil untung dengan menjual eBook tersebut. Saya malas mahu mengulas panjang tentang hal ini maka tuan-tuan boleh baca sahaja posting FB Pakdi yang menjadi titik tolak kes ini.
Post by Pakdi Suzardi M.
Sebenarnya, sebelum kes ini berlaku saya terjumpa seorang yang mengaku master trainer menciplak lembaran kerja saya dan mengadakan bengkel Business Model Canvas. Bila saya lihat sahaja lembaran kerja beliau memang saya gelak kerana strukturnya masih sama cuma sekadar ditukar contohnya. Sudahlah begitu, guna Business Model Canvas pun tidak ada kredit kepada BusinessModelGeneration.com
Lembaran Kerja Asal |
Lembaran Kerja Ciplak Halaman 1 |
|
Saya memang kenal sangat siapa gerangannya kerana saya pernah minum teh dengan beliau berkongsi buku Business Model Generation dan beliau menghadiri kelas percuma saya. Pada awalnya saya buat kelas percuma sahajalah kerana saya sekadar belajar Business Model Canvas daripada buku. Kemudian baru saya ke Singapura berguru dengan para penulisnya. Itu pun sampai sana saya jumpa Dr. Yves Pigneur mohon halal atas apa hasil yang telah saya perolehi dari buku beliau. Saya turut menunjukkan lembaran kerja yang telah saya buat kepada beliau.
To’ki saya yang menjadi imam kampung sukarela pun mohon halal dari para penulis buku agama yang beliau buat rujukan. Apatah lagi saya yang memang membina reputasi dan bisnes menggunakan ilmu bisnes yang ditulis oleh orang lain.
Jarak waktu antara kelas percuma dengan insiden saya menjumpai lembaran kerja ciplak itu sekitar 18 bulan. Dalam tempoh itu saya sudah berkali-kali bertukar business model sehingga sekarang ini saya pandang sebelah mata sahaja bisnes training ini. Saya lebih seronok menjadi konsultan dan produser video.
Sebenarnya, kalau minta izin saya akan emel sahaja fail supaya mudah dicetak. Tidak perlu ubah-ubah atas hasil ciplakan. Malah, pernah ada trainer bertanya soalan supaya mudah untuk dia menerangkan kepada klien pun saya pernah jawab. Apa yang susah sangat nak buka mulut minta izin? Hantar email sahaja sudah cukup.
Boleh sahaja saya terus biarkan perkara ini begitu sahaja tetapi bagaimana pula nasib mereka yang baru hendak terjun dalam dunia training? Apa mungkin saya berdiam diri sahaja melihat mereka yang betul-betul jujur hendak mendidik masyarakat melalui training dianiaya oleh trainer senior yang kononnya ‘master trainer’ dan berpengalaman luas?
Saya tahu, konten bisnes Bahasa Melayu memang sangat terhad sehingga membuatkan saya terpanggil untuk menterjemah dan berkongsi secara percuma di sini. Namun itu bukan alasan yang ‘menghalalkan’ mereka yang mengaku ‘pakar’, ‘trainer’ dan ‘coach’ untuk menciplak begitu sahaja.
Mana yang lebih menjaga ukhwah?
- Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita terus buat duit dengan cara yang salah?
- Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita menindas saudara kita yang lain?
- Buka mulut buat bising atau terus biarkan saudara seagama kita jual kepakaran bertaraf sampah kepada saudara kita yang lain?
p/s: Kalau saya rajin dan ada mood, lain kali saya cerita pula tentang ‘pakar industri’ yang baru-baru ini cuba kelentong business partner saya.