Kedai Buku Mati, Apa Langkah Seterusnya
Artikel sebelum ini telah mempersoalkan survival industri buku. Tambah pula Tuan Ikhram Mohd membuat unjuran terdapat lebihan stok bernilai RM40 juta dalam pasaran. Sekiranya para pekedai bertindak memulangkan kembali semua stok tersebut kepada penerbit maka sudah pasti aliran tunai para penerbit semakin tercekik. Silap-silap akan menguburkan terus syarikat!
Penulis buku Free iaitu Chris Anderson telah mengatakan apabila keupayaan pengeluaran sudah sampai ke tangan semua orang, maka orang tengah akan mati. Tambah pula apabila saluran sales dan marketing telah terbuka kepada semua melaui Internet.
Selama ini penerbit bertindak sebagai gatekeeper untuk penulis sampai ke kedai buku. Ini kerana adalah tidak efisyen untuk kedai buku berurusan secara runcit-runcitan dengan penulis. Lebih baik mereka borong buku sekali harung sahaja daripada penerbit.
Monopoli akses pasaran ini juga menjadikan segelintir penrbit bertukar menjadi tuan tanah kedaung. Sudahlah tidak membayar sebarang advance kepada penulis, royalti lewat dibayar dan kadar royalti diubah sesuka hati. Kemudian mereka penulis dan kedai buku tolong promosikan buku. Semuanya atas alasan mereka mengambil risiko mendanai kos percetakan buku penulis.
Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kesan dari revolusi Internet semakin menggigit. Penulis semakin ramai berkarya dan menerbit buku tetapi penerbit dan kedai buku semakin lesu.
Revolusi membunuh yang lama dan memberi ruang kepada yang baru. Apa yang pasti, business model sekarang yang mempunyai begitu banyak orang tengah akan mati. Persoalannya, apakah yang akan tumbuh menggantikan yang lama?
Ini bukan resepi gerenti jadi. Bukan semua pemain industri buku yang wujud sekarang akan terus hidup. Namun langkah awal cegah sebelum parah dapat meningkatkan peluang survival. Pastinya ramai yang tercari-cari business model era baru tetapi masih ada satu perkara dasar yang perlu diakui terlebih dahulu. Ramai yang tidak faham pun business model tradisi kerana main ikut-ikutan sahaja. Jadi bagaimana hendak berubah?
Apa nilai sebenar buku? Apakah pada lembaran demi lembaran fizikal atau pada isi kandungannya? Buku memang unik sebagai medium yang mampu berdiri sendiri. Apa yang tercetak boleh terus dinikmati dan disimpan. Tidak seperti konten audio dan video yang sentiasa memerlukan alat pemain. Namun hakikatnya isi kandungan buku tetap boleh dipisahkan dari mediumnya.
Dari situ kita boleh fahami apakah komponen-komponen business model industri buku. Senaraikan satu persatu dan kenalpasti antara yang relevan dengan tidak. Apa yang relevan terarah untuk membawa konten daripada penulis kepada pembaca dan seterusnya membawa pulangan kepada penulis supaya mereka boleh terus berkarya.
Komponen-komponen business model industri buku seterusnya boleh disusun dan ditambah komponen baru bagi membina business model baru yang lebih berdaya saing. Strategi ini dipanggil ‘bundling’ & ‘unbundling’ yang telah mengubah banyak industri.
Kedai Buku >>> Kedai Pendidikan Kanak-Kanak
Masih ramai ibu bapa di luar sana yang prihatin dan tidak mahu memberi gajet terlalu awal kepada anak-anak. Oleh itu mereka akan tetap membeli buku dan permainan pendidikan kepada anak-anak mereka. Melihat kepada jumlah permainan yang memang dijual di kedai buku sekarang mengapa tidak fokuskan terus kepada kanak-kanak sahaja?
Penerbit >>> Talent Management Agency
Sepertimana penulis yang tidak boleh semata-mata menulis, penerbit juga harus memainkan peranan yang lebih besar. Mereka harus membantu mendapatkan ruang untuk penulis berceramah, bersyarah dan berforum. Kemudian iringi penulis dengan tim jualan buku. Bukan itu sahaja, penerbit juga harus proaktif melonjakkan jenama penulis di media sosial. Penerbit juga boleh anjurkan program berbayar dan menghasilkan merchandise yang relevan. Jika lebih rajin, penerbit pun harus membantu penulis dalam produksi siri YouTube.
Penerbit >>> POD + Fulfilment
Sekiranya business model Talent Management Agency terasa terlalu renyah, mengapa tidak penerbit menjadi penyedia perkhidmatan percetakan dan logistik semata-mata? Apabila penulis menerima tempahan, penerbit cetak dan poskan buku tersebut. Apabila penulis berprogram, penerbit datang bawa stok buku. Servis sebegini akan membolehkan penulis fokus berkarya dan mempromosikan karya mereka.
Penulis >>> Penerbit
Beberapa tahun yang lalu, semacam ada stigma dengan terbit sendiri. Buku self-published dilihat sebagai kurang berkualiti atau syok sendiri. Namun bagi para penulis yang mempunyai hubungan akrab dengan pembaca, adalah lebih menguntungkan untuk terbit sendiri. Peratusan jualan yang masuk kantung sendiri lebih tinggi dan tidak perlu menghambat penerbit untuk ulang cetak bila sudah kehabisan stok.
Terbit sendri bukan terhad kepada bentuk teks semata-mata malah meliputi audi dan video juga. Apabila sudah ada smartphone maka sudah tidak alasan untuk tidak menghasilkan konten audio dan video. Segala teknologi yang dahulunya penuh satu studio kini dimampatkan ke dalam poket.
Perubahan-perubahan yang perlu dibuat mungkin kelihatan menggerunkan. Tetapi tanpa keberanian pemain baru akan lebih mudah memintas pemain lama. Mereka tidak terikat dengan cara kerja dan teknologi lama. Teknologi baru juga lebih mudah.
Paling kritikal, mereka mudah untuk menambah pekerja berbanding pemain lama yang terpaksa membuang pekerja untuk terus hidup. Sudah pasti akan ada yang menjadi ‘technologically unemployed’ kerana kemajuan teknologi bermakna semakin kurang pekerja diperlukan. Apa pun, pilihan di tangan tuan-tuan; berubah sekarang atau lemas dihanyut ombak perubahan.