Kisah Bisnes Pasar Gombak
Seminggu lepas, saya ternampak artikel akhbar mengatakan bisnes di Pasar Gombak terjejas teruk akibat penutupan cawangan Maybank di sana. Tempat tersebut merupakan tempat yang saya kunjungi sejak kecil jadi saya agak ambil berat akan perkembangan di pasar itu.
Semalam seperti biasa saya sekeluarga pergi ke sana untuk sarapan hujung minggu. Ternyata banyak gerai-gerai ditutup, terutamanya yang di sekitar bank. Namun apabila naik ke bahagian gerai makan di atas, bisnes tampaknya tetap rancak dan meriah dengan pelanggan.
Keluarga saya sudah mengenali para peniaga di situ agak lama dan di situ sudah menjadi seperti sebahagian kampung sendiri. Saya bertanya kepada salah seorang pemilik gerai bagaimana keadaan bisnes setelah penutupan Maybank? Katanya bisnes gerai makan tidak terjejas dan jumlah pelanggan masih seperti biasa.
Mi bandung yang sedap di Pasar Gombak – sedap sehingga tinggal kuah sahaja!
Mengapa ada gerai yang terjejas dan ada gerai yang selamat? Gerai-gerai di hadapan bank menjual buku-buku, tudung dan makanan kering seperti kurma dan kismis. Gerai-gerai tersebut memang bergantung kepada orang berbelanja menggunakan ‘duit lebih’ selepas mengeluarkan wang dari bank.
Gerai-gerai makan pula mempunyai pelanggan tetap tersendiri dan mereka akan tetap datang untuk makan. Malah boleh dikatakan balik-balik muka itu juga yang makan di situ.
Peristiwa ini memberi satu pengalaman bagaimana pelanggan yang datang tidak semestinya datang atas sebab produk dan perkhidmatan kita sendiri. Adakah kita mempunyai pelanggan tetap sendiri?
– Posted using BlogPress from my iPad