Krisis MaGIC & Mitos Silicon Valley
Apabila Cheryl Yeoh dilaporkan akan berhenti dari jawatan CEO lebih awal dari sepatutnya, itu bukanlah satu kejutan buat kami. Sebenarnya kami telah lama melihat bibit-bibit yang membawa kepada krisis ini. Pimpinan MaGIC sedar sekiranya mereka tidak dapat menarik seluruh lapisan masyarakat secara sekata mereka akan mempunyai masalah dengan pihak pembuat dasar.
Apa yang heboh, kononnya MaGIC tidak membawa agenda bumiputera sehingga isu ini dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO. Tapi bagi kami yang berbangsa Melayu sekalipun, kenyataan dalam PAU itu memualkan.
Memalukan kerana memberikan gambaran seolah-olah Melayu berfikiran sempit. Sebetulnya MaGIC bukan gagal dalam mengangkat agenda bumiputera tetapi gagal dalam mengangkat mandat yang diberikan kepadanya.
MaGIC dilihat sebagai peneraju dalam membangunkan sektor startup berteraskan teknologi tetapi sebenarnya mereka diberi mandat untuk membangunkan ekologi startup bagi semua sektor. Ya, semua sektor bukan teknologi semata-mata. Tak percaya? Semak semula kenyataan Tan Sri Irwan Siregar dalam Utusan pada tahun 2013.
MaGIC menjawab kepada Kementerian Kewangan dan ukuran kejayaan serta kegagalan perlu disandarkan kepada fakta mandat mereka. Bukan kepada persepsi dan dogma sempit semata-mata.
Sebenarnya, terlalu sempit untuk kita berbincang tentang MaGIC semata-mata. Setidak-tidaknya kita perlu melihat lebih luas kepada Cyberjaya yang menjadi kampung kepada MaGIC.
Cyberjaya dicanang sebagai Silicon Valley Malaysia. Iklan-iklan dan bas-bas menjalar ke sana-sini mendabik gelaran tersebut. Namun sejujurnya, gelaran Silicon Valley Malaysia itu sebenarnya tidak layak untuk Cyberjaya.
Perhatikan apa sebenarnya yang menjana ekonomi Cyberjaya. Kebanyakannya hanya kerja-kerja outsourcing syarikat-syarikat gergasi global. Syarikat-syarikat tersebut pula kebanyakannya syarikat era Industrial. Bukannya Facebook atau Google yang membuka cawangan di Cyberjaya, bahkan Microsoft pun tidak bertapak di sana.
Gelaran lebih tepat untuk Cyberjaya ialah Bangalore Malaysia kerana apa yang dibuat kebanyakannya hanyalah kerja-kerja outsourcing. Syarikat-syarikat gergasi global hanya memanfaatkan insentif bagi mengurangkan kos operasi mereka. Mereka tidak pun menempatkan makmal R&D di Cyberjaya bagi menghasilkan inovasi baru untuk meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam erti kata lain, Cyberjaya sebagai Silicon Valley Malaysia adalah hype semata-mata. Isu dasar ini sebenarnya membawa kepada kegagalan MaGIC sejak awal penubuhannya.
Pihak pembuat dasar mengimpikan MaGIC sebagai pemangkin untuk mencipta enjin ekonomi yang baru. Jika dahulu ukuran kejayaan graduan adalah untuk berkerja dengan kerajaan, GLC atau MNC. Tetapi sekarang, mereka mahu graduan membina startup sendiri atau berkerja dengan startup tempatan.
Cyberjaya bukanlah bandar tipikal Malaysia — enjin ekonominya diimport, penduduknya diimport, idea pun diimport. Jika disebut secara teknikal, ini adalah pemikiran ‘1 to n’. Sesuatu perkara telah berjaya sekali dan mahu diulang n kali — tiru sahaja apa yang telah menjadi. Sedangkan startup memerlukan pemikiran ‘0 to 1’ iaitu daripada tiada kepada ada.
Idea ini bukan kami reka-reka, ini adalah apa yang disebut oleh Peter Thiel co-founder Paypal dalam buku beliau Zero to One. Jadi bagaimana mungkin Cyberjaya melakukan inovasi Zero to One yang asli sekiranya bandar itu sendiri sibuk meniru Silicon Valley?
Apabila kita meluaskan pandangan lagi, Silicon Valley itu sendiri pun satu mitos. Bukan semua startup gergasi bermula dan berpangkalan di sana. Amazon dan Microsoft berpangkalan di Seattle, Facebook pula bermula di Harvard sebelum berpindah ke Silicon Valley. Memanglah Silicon Valley yang terkenal tetapi bukan itu sahaja tempat di mana inovasi dan startup bernilai berbillion dolar tercipta.
Kita lihat Klang Valley kita sendiri, berapa banyak startup tempatan yang beroperasi di luar Cyberjaya? GrabTaxi bermula di Petaling Jaya dan kemudiannya melangkau Cyberjaya untuk terus berpejabat ke Singapura. Silverlake Group yang membekalkan perisian kepada bank-bank dan institusi-institusi kewangan juga berpangkalan di Bandar Utama, Petaling Jaya. Les Copaque sebagai peneraju industri animasi 3D pula beroperasi di Shah Alam.
Jadi, apa yang sibuk sangat hendak memusatkan semuanya di Cyberjaya dan secara khususnya di MaGIC? Bila kita amati kenyataan para pembuat dasar tentang MaGIC ternyata mereka sebenarnya mengharapkan keajaiban.
Mereka harap dengan buat satu agensi baru dengan bajet yang besar enjin ekonomi baru akan tercipta. Kononnya dengan cara ini Mark Zuckerberg dan Steve Jobs Malaysia akan dapat dilahirkan.
Kalau itulah keajaiban yang mereka harapkan maka tidak kiralah Cina, India, Melayu, Melanau, Iban atau Bajau yang jadi CEO. Jawatan ini akan terus jadi kerusi panas yang penghuninya bertukar bersilih ganti! MaGIC pula di Cyberjaya akan terus jadi hype di atas hype!