Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 2
Menjambatani Dunia
Seboleh mungkin, makalah ini mahu mengelakkan dari terjebak dari klise Islam vs Barat. Antara sebabnya bukan semua yang diamalkan di Barat itu tidak Islamik. Orang-orang Barat pun bukan semua setuju dengan sistem ekonomi arus perdana yang diamalkan di Barat sekarang yang dikenali sebagai sistem ekonomi Neo-Liberal. Dalam masa yang sama juga, wujud juga orang-orang dan negara-negara Islam yang lebih Neo-Liberal berbanding Barat!
Lawan kepada Islam bukanlah Barat tetapi segala bentuk penindasan terhadap manusia dan pembodohan akal. Hikmah adalah milik orang Islam dan di mana sahaja dia menjumpainya harus mengutipnya.
Matawang Dinar & Dirham juga sebenarnya adalah Denali & Drahma dari tamadun Rom & Yunani. Banyak inovasi kewangan dan ekonomi diambil dari tamadun-tamadun beragama lain sepanjang sejarah perkembangan pemikiran ekonomi Islam. Begitu sebaliknya perkembangan pemikiran ekonomi di Barat juga mengambil inovasi yang dibawa oleh Islam.
Ramai yang suka melabel Islam sebagai ‘Timur’ sebagai lawan kepada Barat. Tetapi jika diperhatikan betul-betul, ternyata Timur Tengah yang selalu diertikan sebagai Islam itu sebenarnya adalah Barat Dekat (Near West). Mungkin kita di Alam Melayu boleh disebut sebagai Timur tetapi harus diingat lebih dekat terbang ke London dari Jeddah berbanding ke Kuala Lumpur.
Dalam merungkai Kredit-ism daripada Kapitalism, buah fikiran Nassim Nicholas Taleb. Mungkin sangat cocok beliau berasal dari rantau Syam yang merupakan kawasan paling bergolak dalam dunia Muslim kini. Membaca buku Anti-Fragile karangan beliau, saya terpempan dengan peraturan etika utama beliau;
“Thou shalt not have anti-fragility at the expense of the fragility of others”
“Anda tidak seharusnya menikmati anti-fragility di atas fragility orang lain.”
Istilah anti-fragility dan fragility mungkin agak sukar untuk diterjemah dalam Bahasa Melayu tetapi dalam konteks ayat ini boleh diertikan sebagai;
“Anda tidak harus menikmati kesenangan atas kesusahan orang lain.”
Apabila saya terbaca peraturan ini, saya merasakan ia sangat Islamik. Peraturan ini sejajar dengan dengan pengharaman riba seperti yang diamalkan bank-bank moden. Mereka mempunyai kadar keuntungan yang tetap tidak kira apa risiko pasaran yang dialami oleh peminjam. Mereka pula boleh meningkatkan kadar faedah apabila pasaran merudum sedangkan peminjam semakin sukar untuk membayar balik pinjaman mereka!
Nassim Nicholas Taleb turut menghentam idea bahawa risiko boleh dihitung.
“Fragility is quite measurable, risk not so at all.”
“Kerapuhan mudah diukur, risiko langsung tidak.”
Trio Fragile, Robust & Anti-Fragile beliau sangat membantu untuk meletakkan sistem ekonomi Islam dalam konteks dunia moden. Kredit-ism yang diamalkan sistem Neo-Liberal adalah Fragile. Sistem Ekonomi Islam adalah mapan dan mungkin juga ada ciri-ciri Anti-Fragile.
Stressor adalah maklumat tetapi sistem yang Fragile tidak mampu memprosesnya dengan baik. Sistem Ekonomi Neo-Liberal berusaha untuk mengelakkan stressor dalam bentuk risiko. Maka muncullah insurans, re-insurance, credit deafult swap, derivatif dan pelbagai lagi instrumen kewangan yang eksotik. Pada asalanya mereka mahu melindungi dari risiko tetapi akhirnya mereka sekadar menukar risiko menjadi satu bentuk yang abstrak. Mereka menyembunyikan dan mengabui risiko, bukannya bersemuka dengannya.
Bersemuka dengan risko adalah salah satu prinsip utama dalam Sistem Ekonomi Islam – keuntungan tidak boleh wujud tanpa risiko. Apabila dibaca bersama peraturan etika utama Nassim Nicholas Taleb, ternyata tidak jauh berbeza akhirnya.
—
Dalam bahagian seterusnya, kita akan melihat bagaimana pinjaman memberi kesan yang berbeza berbanding skim perkongsian keuntungan.