Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 5

Tokoh-Tokoh Sejarah

Bukan hanya Nabi Muhammad yang membawa inovasi dalam urus tadbir ekonomi negara. Antaranya Nabi Yusuf a.s yang memang disebut di dalam Quran diamanahkan untuk menjaga perbendaharaan sebuah negara. Dalam erti kata lain, baginda merupakan seorang Menteri Kewangan.

Maka, apakah ciri-ciri insan yang layak menjadi seorang Menteri Kewangan? Baginda dibuang oleh abang-abang tirinya dalam sebuah telaga sebelum diselamatkan oleh pedagang-pedagang yang lalu lalang. Baginda dibeli oleh pembesar Mesir pada zaman itu yang digelar sebagai al-Aziz dan berkhidmat sehingga dewasa. Terkenala dengan ketampanannya, baginda kemudiannya disumbat dalam penjara setelah melawan godaan isteri al-Aziz.

https://www.flickr.com/photos/medmss/4690936198/
Manuskrip Quran dari koleksi Walters Art Museum

Dalam penjara, baginda berkawan dengan dua orang banduan. Mereka berdua menceritakan mimpi mereka dan Nabi Yusuf a.s menafsirkannya. Menurut tafsir beginda, seorang akan dihukum bunuh dan seorang lagi akan berkhidmat dengan al-Aziz. Tidak lama kemudian, ternyata mimpi banduan-banduan tersebut menjadi realiti.

Nabi Yusuf a.s pula terus meringkuk dalam penjara. Satu hari, al-Aziz terjaga dalam keadaan risau memikirkan apa yang dimimpikannya. Namun, tidak ada siapa yang boleh menafsirkan mimpi tersebut. Rakan sepenjara Nabi Yusuf a.s pergi menemui baginda di dalam penjara dan meminta tafsiran baginda.

Yusuf a.s menafsirkan mimpi tersebut bahawa ada tujuh tahun yang ada hasil diikuti dengan tujuh tahun yang sukar. Selepas itu akan ada satu tahun yang makmur. Oleh itu hasil lebihan tahun tersebut harus disimpan dan diurus dengan baik.

Kagum dengan tafsiran mimpi tersebut, al-Aziz memanggil Yusuf a.s ke istana. Baginda segera dibebaskan, segala tuduhan digugurkan dan diisytiharkan sebagai seorang yang amanah. Nabi Yusuf a.s kemudiannya menegaskan bahawa baginda harus diberi tanggungjawab mengurus perbendaharaan negara kerana baginda adalah seorang yang pandai menjaga (Hafizun Amin).

Qarun pula memberikan contoh yang bertentangan. Beliau merupakan salah seorang umat Nabi Musa a.s yang bertukat daripada miskin menjadi kaya. Bukan sekadar kaya tetapi tersangat kaya. Mengangkut kunci gudang harta beliau sahaja sudah memerlukan beberapa orang lelaki perkasa untuk mengangkatnya.

Namun, Qarun menjadi bongkak dan mendakwa kekayaannya adalah hasil ilmu pengetahuannya semata-mata. Masyarakat sekitar kagum dengan beliau dan Qarun berjalan ke sana-sini memakai pakaian mewah. Tuhan menempelak beliau dengan mengatakan bahawa ada orang yang lebih kaya sebelum beliau. Akhirnya, Qarun ditelan bumi bersama harta-hartanya.

Kita dapat lihat bagaimana pertentangan antara dua tokoh ini. Yusuf a.s mentadbir sebuah negara beradasarkan panduan dari Tuah dan menjadikannya makmur. Qarun pula mengumpul harta menggunakan ilmunya dan berakhir ditelan bumi.

Dalam bahagian berikut kita akan meninjau sistem keselamatan sosial dalam ekonomi Islam.