Mengapa Memilih Watak Kucing?

Kenapa memilih untuk mencipta watak baru? Mengapa pula kucing yang dipilih untuk diangkat menjadi watak utama? Video yang menampilkan Ustaz Zamri versi animasi sudah ada 7000 view dalam masa 3 bulan, mengapa pula ambil risiko cipta watak baru?

Jawapan kampungan; sebab saya suka kucing. Jawapan sosfikated dan psikologikal; boleh baca selanjutnya di bawah.

Pertama sekali, projek animasi Meo & Mama bukanlah siri pertama yang disasarkan khusus untuk umat Islam. Sudah ada banyak siri-siri lain sebelum ini yang diterbitkan di Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Australia. Namun apa yang berlaku setiap siri dilihat tidak begitu mampu untuk merentas sempadan komuniti tempat ia dicipta.

Apa yang dapat diperhatikan kebanyakan siri menampilkan karakter manusia sama ada sebagai karakter utama atau sampingan. Hipotesis saya, ini menimbulkan beberapa halangan antaranya warna kulit dan pakaian. Kita tidak usah cerita banyaklah, songkok dalam rumpun Melayu pun sudah cukup berbeza. Songkok Malaysia sekian tinggi dan keras, songkok Johor / Singapura pula lebih tinggi, songkok Indonesia pula tidak keras dan boleh dilipat.

Kanak-kanak memang suci bersih lagi fitrah, mereka tidak kisah warna kulit dan rupa. Isunya ibu bapa yang memilih dan membeli bahan media untuk kanak-kanak. Ibu bapa ini sudah ada persepsi mereka sendiri tentang apa yang cool dan tidak cool. Jadi bagi mengatasi halangan ini, kami memilih untuk tidak menggunakan watak manusia dan memilih untuk menggunakan kucing.


Kucing lebih universal dan memungkinkan untuk siri animasi ini lebih mudah merentas budaya. Kita sudah ada Raihan, Yusuf Islam, Sami Yusuf dan Maher Zain sebagai ikon nasyid yang dikenali secara universal oleh umat Islam tetapi belum ada ikon animasi Islamik. Belum ada satu watak yang dikenali semua kanak-kanak Islam sepertimana mereka mengenali Mickey Mouse sekarang.

Mahu mengikuti perkembangan lanjut projek animasi Meo & Mama? Mohon like page kami di Facebook serta subscribe channel kami di YouTube.