Mengapa Strategi Diperlukan?

Strategi memberi keupayaan untuk mencerap keadaan sekeliling dan memilih kaedah apa yang paling baik. Sebagai contoh, seseorang itu boleh ke gunung satu lagi melalui jalan darat, air atau udara.  Setelah memilih kaedah pengangkutan, laluan sebenar pula boleh ditentukan sendiri. Mereka yang menguasai strategi boleh melakar peta sendiri.

Mereka yang bergantung kepada taktik pula sebenarnya bergantung kepada peta orang lain. Peta tersebut telah menunjukkan dengan jelas jalan mana yang pernah digunakan. Namun, lama-kelamaan peta mungkin sudah lapuk atau keadaan jalan sudah berubah. Mereka yang bergantung kepada peta orang lain akan buntu sekiranya peta tidak lagi boleh digunakan.

Lebih buruk lagi, mereka tidak faham mengapa jalan itu yang dipilih menyebabkan mereka tidak dapat memilih jalan yang sesuai dengan keupayaan diri. Mengapa perlu memilih jalan darat sekiranya seseorang itu sebenarnya pandai berenang dan mempunyai bot laju?

Mereka yang menguasai strategi bukan sahaja menguasai pelbagai kaedah malah dapat memikirkan kaedah baru. Sebagai contoh sekiranya hanya satu ayat yang perlu dihantar tidak perlulah bersusah-payah mendaki gunung menghantar surat; cukuplah dengan isyarat asap untuk menyampaikan mesej. Namun mereka yang hanya mengikut peta tetap akan meredah jalan paling sukar!