Mental Model Yang Salah

Pertama kali terasa bahang COVID-19, saya jauh memandang rendah tahap keseriusan wabak ini. Pada waktu itu Malaysia baru sahaja selesai ‘musim’ influenza. Ramai yang demam dan katil-katil di hospital penuh. Ada rakan yang satu keluarga semuanya kena.

Maka apabila gelombang pertama COVID-19 datang dan ‘pergi’ di Malaysia, fikiran saya meletakannya dalam kategori yang sama dengan ‘musim’ influenza yang baru berlalu. Paling kuat pun hanyalah endemik serantau seperti MersCOV.

Catatan mesyuarat dengan klien agensi umrah pada 4 Mac 2020

Oleh itu pada awal Mac 2020 saya dengan yakin membuat unjuran bahawa kerajaan Saudi akan membuka semula pintu untuk umrah bermula Ramadhan. Ini disebabkan mereka kekurangan hasil akibat kejatuhan harga minyak dan pemahaman pada waktu itu bahawa virus ini akan makin lemah seiring dengan peningkatan suhu memasuki musim panas.

Ternyata ‘mental model’ yang saya gunakan salah. Model paling hampir bukanlah ‘musim’ influenza atau MersCOV namun sebaliknya adalah Spanish Flu 1918. Sejak itu barulah boleh menilai dengan lebih objektif dan jelas.