PBAKL - Hari Raya Penulis
Saban tahun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung di PWTC. Oleh kerana ramai penulis turun mempromosikan buku mereka maka acara tersebut juga menjadi perhimpunan penulis. Pada masa itulah dapat berjumpa ramai rakan-rakan dan guru-guru penulisan. PWTC memang jadi tempat berkampung – minum-minum dan berbincang walau di tengah-tengah hingar-bingar pengunjung. Malah, duduk bersila atas lantai pun tidak mengapa asal dapat berbincang bersama rakan-rakan.
Kalau sudah bosan dan menyampah dengan makanan di PWTC barulah pergi meleret ke The Mall untuk suasana yang lebih tenang. Tahun ini juga pertemuan turut bersambung ke rumah kerana kali ini kami ada pasangan pengantin baru penulis dan penterjemah.
Berkumpul di rumah Iskandar Syah Ismail & Nor Hayati Redzwan memang terasa seperti hari raya dengan pelbagai juadah dan minuman. Ditambah pula dengan alunan lagu dari SinarFM. Pada masa-masa sebeginilah ada perbincangan tentang perancangan buku-buku akan datang dan juga gosip-gosip tentang penerbit (Iyalah, kita tiada wadah rasmi berita penerbit).
Namun, sejak bergelar penulis saya hanya dapat meluangkan 1-2 hari sahaja di PBAKL. Tahun lepas saya pergi umrah, tahun sebelumnya saya ke Indonesia, sebelum itu lagi ke Kemboja. Entah kenapa, semua musafir itu jatuh pada minggu PBAKL. Tahun ini pula saya sibuk dengan persiapan walimah saya di hujung minggu terakhir PBAKL!