Permission Marketing: Mengapa Interruption Marketing Tidak Berkesan?
Tidak lama dahulu, Interruption Marketing memang berkesan. Para pengeluar mendapati lebih banyak iklan yang mereka letak, lebih banyak jualan yang mereka dapat. Mereka juga mendapati bahawa letak sahaja iklan hari ini, esok jualan sudah meningkat. Maka, bagi tempoh yang agak lama mereka selesa dengan keadaan tersebut.
Namun, keberkesanan taktik itu mula berkurang. Mengapa ini berlaku? Antara sebabnya adalah pemecahan kuasa media. Dahulu saluran TV boleh dibilang dengan jari dan semua orang tertunggu-tunggu untuk menonton rancangan kegemaran mereka. Dalam erti kata lain, mereka membuat temujanji dengan TV mereka. Pengiklan mengeksploitasi jangkaan tersebut dengan menyelitkan iklan mereka semasa rancangan tersebut disiarkan.
Ini menyebabkan orang ramai berkumpul pada waktu-waktu tertentu dan peniaga mudah mencari sasaran mereka. Cerita-cerita yang sama menjadi bualan di rumah dan pejabat. Lantas, iklan yang sama menjadi bualan semua orang.
Sekarang, terdapat beratus-ratus saluran TV dan pengguna boleh menonton mengikut masa pilihan mereka melalui PVR atau Video On Demand. Ini membolehkan orang ramai mengelak dari menonton iklan dan dalam masa yang sama menyukarkan pengiklan mencari sasaran. Kehadiran internet pula meletakkan kuasa pada penonton dan bukan lagi pada penyiar.
Media juga sudah tepu dengan iklan dan menyebabkan orang ramai mula ‘lali’ dengan mesej-mesej iklan. Kalau tidak mereka melangkau iklan melalui teknologi, minda mereka pula sudah menapisnya. Pendek kata, Interruption Marketing sudah mula hilang taringnya.
Seterusnya kita akan lihat pula kepada One to One Marketing.
<< Idea Lama Interruption Marketing | One to One Marketing >>