Portfolio Projek 2012
Pengisytiharan manifesto semalam sebenarnya adalah berasaskan siri projek yang dijalankan sepanjang tahun ini. Asalnya, projek-projek tidak begitu terancang namun akhirnya saya dan rakan-rakan dapat belajar pelbagai perkara yang menjadi blok-blok asas sesuatu yang lebih besar.
Jalan-Jalan Cari Pasal
Projek ini adalah yang paling gila dan memenatkan. Perkara yang dieksperimen adakah boleh merakam sebuah dokumentari yang agak panjang seorang diri menggunakan DSLR. Kemahiran yang dipelajari adalah pengurusan logistik, produksi, subtitiling, produksi DVD dan menyelami budaya di pantai timur.
Bajet yang digunakan sangat rendah kerana semua peralatan adalah pinjaman, kos minyak hanya RM200, dan kami tinggal di homestay yang mengenakan caj RM45 semalam dan menumpang di rumah rakan.
Rakan kerjasama: Shahir Amin, Badruddin Ghazali
DVD Ibrah Surah al-Kahfi / Saifulislam Store
Projek ini tercetus semasa saya dan Shakir sedang melepak di Little White Cafe, Bangi. Pada waktu itu Tuan Yusry Yusopp turut ada. Mendapat inspirasi daripada projek Kickstarter Seth Godin, kami menirunya untuk membawa konten baru daripada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Menggunakan media sosial, kami menjalankan survey dan pre-order sebelum melakukan produksi. Ini sangat berbeza berbanding projek Jalan-Jalan Cari Pasal yang dirakam terlebih dahulu tanpa mengetahui hendak dijual ke mana serta sama ada wujud permintaan atau tidak.
Banyak skil teknikal dari projek JJCP digunakan dalam projek ini dan digabungkan dengan pemahaman baru tentang business model. Business Model Canvas projek ini dilakar di Umai Lake Cafe, Putrajaya.
Walaupun projek ini dikira berjaya dan membawa pulangan signifikan kepada semua yang terlibat, value chain projek ini terlalu panjang. Proses dari survey hingga penghantaran DVD kepada pelanggan mengambil masa yang sangat panjang.
Projek ini sangat mencabar kerana pada masa yang sama Shakir sudah sibuk untuk berhijrah sementara ke Manchester. Namun beliau membawa masuk rakan strategik baru iaitu Tuan Umar Taib yang banyak menyelesaikan urusan fasa terakhir produksi. Tanpa beliau mungkin projek kami sudah bungkus.
Rakan strategik: Shakir Salleh, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Umar Taib
Projek Mudahnya Ibadah
Oleh kerana menguruskan produksi dan penghantaran produk fizikal adalah sesuatu yang sangat renyah, kami bereksperimen dengan business model direct-to-digital. Semasa di Janda Baik bersama Puan Ainon Mohd dan Tuan Ahmad Saifuddin Yusof, muncul idea dari sifu untuk memberi panduan ibadah melalui audio digital.
Puan Ainon menulis skripnya dan saya pula merakam suara Tuan Ahmad Saifuddin. Setelah diedit dengan perisian open-source Audacity, kami upload ke Gumroad.com kerana tidak mahu mengeluarkan kos bagi sistem pengedaran produk digital.
Respon daripada orang ramai sangat baik dan mencatatkan lebih 1000 hit dalam masa beberapa hari. Namun, jualannya sangat rendah kerana kebanyakan mereka tidak dapat membayar menggunakan kad kredit.
Projek ini mengesahkan permintaan terhadap produk digital seperti ini dan keperluan orang ramai bagi menyelesaikan masalah mereka.
Rakan strategik: Puan Ainon Mohd, Tuan Ahmad Saifuddin Yusof
DownloadIlmu.com
Projek ini pula menggabungkan elemen-elemen daripada projek-projek sebelum ini dan membawa masuk beberapa rakan strategik baru. Projek ini bermula daripada idea Tuan Syed Faiz Syed Mahmad dan Tuan Yusry Yusopp bagi menghasilkan eBook Tim Hadith Psikologi. Mereka mahu melabur untuk platform konten digital dan plugin payment gateway. Saya melihat platform itu mampu menjadi sistem yang lebih meluas. Saya melakarkan konsepnya berdasarkan teori Long Tail oleh Chris Anderson dan memberikan nama DownloadIlmu.com.
Saya tidak memegang pegangan langsung dalam platform dan sebaliknya bertindak sebagai pembekal utama. Oleh itu, Buku Audio Publication pula ditubuhkan bagi membekalkan konten. Konten daripada projek DVD Ibrah Surah al-Kahfi dan Mudahnya Ibadah pula diupload semula ke DownloadIlmu.
Projek ini juga memberi peluang untuk saya bereksperimen dengan teknologi cloud seperti Amazon S3 yang digunakan bagi pengedaran konten video. Saya juga dapat hands-on mengendalikan Long Tail Marketplace dan melihat fenomena ini beraksi secara realiti.
Rakan Strategik: Puan Ainon Mohd, Syed Faiz Syed Mahmad, Tuan Yusry Yusopp
‘Validated Learning’
Kesemua projek ini dimulakan dengan kos yang rendah menggunakan apa yang ada di tangan atau dipinjam. Setiap satu projek membina skil yang berguna untuk dibawa ke projek seterusnya. Pemahaman tentang Business Model Canvas dan Lean Startup yang datang sepanjang siri projek ini sangat membantu. Semua yang terlibat dapat melihat projek-projek ini sebagai siri eksperimen dan mencapai ‘Validated Learning’. Validated Learning (pembelajaran yang disahkan) adalah konsep penting yang dibawa oleh Eric Ries dalam Lean Startup. InsyaAllah minggu hadapan saya akan mula menulis tentangnya dalam blog ini.