Review: The Personal MBA

Alhamdulillah, saya telah selesai membaca buku The Personal MBA tulisan Josh Kaufman. Premis beliau adalah memuatkan kesemua poin-poin penting yang dipelajari dalam Masters of Business Administration dalam satu buku.

Buku ini boleh diibaratkan sebagai satu peta yang memberi gambaran luas dunia ilmu bisnes. Sekiranya buku ini adalah peta Malaysia, peta ini pada tahap menunjukkan negeri-negeri yang ada dan daerah-daerah di dalamnya. Tetapi tidak pula sampai pada tahap mengenali setiap pekan dan bandar dalam setiap daerah.

Konsep penting dalam buku ini adalah interdependence di mana pelbagai komponen bisnes sebenarnya saling berkait dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, buku ini tidak perlu dibaca secara kronologi dari awal sampai akhir. Pembaca boleh rujuk buku ini untuk mendapat gambaran di mana sebenarnya mereka berada dalam dunia bisnes.

Buku ini juga bersifat seperti kamus – membawa maksud yang baik dan kurang baik. Gaya penulisannya agak membosankan sehingga menyebabkan saya agak sukar menghabiskan bab-bab terakhir. Dalam masa yang sama juga buku ini menerangkan banyak konsep-konsep dan istilah-istilah penting bisnes dengan mudah.

Kesimpulan? Buku ini adalah rujukan wajib untuk semua usahawan dan harus kekal duduk di atas meja kerja.

Dapatkan eBook Business Model Canvas Malaysia di Downloadilmu