T-Shaped University

Setelah menulis entri T-Shaped Person minggu lepas, saya terfikir bagaimana kalau definisi tersebut digunakan untuk entiti lain seperti universiti misalnya. Universiti manakah yang menawarkan program pengajian yang ‘T-Shaped’?

Contoh paling hampir tentunya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pengajian ‘T-Shaped’ sangat jelas dalam beberapa fakulti seperti Kulliyyah of Engineering dan Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledged & Human Sciences. Pelajar Kulliyyah of Engineering mengambil subjek-subjek asas yang sama sebelum dapat membuat pengkhususan. Begitu juga bagi pelajar KIRKHS yang perlu mengambil semua subjek asas sains sosial dan ilmu wahyu sebelum membuat pengkhususan.

Kulliyyah of ICT pula mewajibkan para pelajarnya mengambil subjek-subjek dari Kulliyyah of Economics and Management Sciences seperti perakaunan dan pengurusan. Semasa mengambil subjek perakaunan memang terasa payahnya kerana berada jauh di luar bidang tetapi apabila keluar barulah nampak kepentingannya kerana banyak permintaan sistem IT datang dari sektor bisnes. Jika tiada pengetahuan asas perakaunan seperti apa beza invois dan resit memang terngangalah apabila mendengar permintaan klien.

Di IPT-IPT lain 3 kredit ko-kurikulum boleh didapatkan dengan mengambil satu subjek sahaja seperti Gamelan di UTP dan Nasyid atau Kompang di USIM. Namun di UIAM para pelajar perlu mengambil 5-6 subjek bagi mendapatkan 3 mata kredit itu. Ya, setiap subjek hanya mendapat 0.5 hingga 1 kredit subjek sahaja.

Menghabiskan beberapa semester semata-mata untuk mendapat 3 kredit memang menjerihkan (dan mengundang perasaan menyampah) tetapi dalam masa yang sama membolehkan para pelajar mempelajari lebih banyak skil. Ada yang mengambil kombinasi usrah, fotografi dan debat. Ada juga yang mengambil pengurusan keluarga dan pengucapan awam. Ada juga yang menceburkan diri dalam bidang seni ataupun menyertai badan beruniform seperti Wataniah dan Suksis.

Kepelbagaian kemahiran ini membawa kepada menjadi T-Shaped Person dan membolehkan seseorang itu bekerjasama dalam pelbagai keadaan.

Namun lebih penting lagi para pelajar berpeluang mengenali rakan-rakan daripada pelbagai bidang dan tidak terhad kepada muka yang sama dalam kelas dari tahun satu hingga akhir. Kelas-kelas subjek wajib universiti juga menjadi medan pertemuan kerana kelasnya selalu terbuka untuk pelbagai fakulti. Agak normal bagi pelajar UIAM mempunyai rakan di luar bidang seperti pelajar kejuruteraan mempunyai rakan dari fakulti undang-undang, IT, perakaunan dan senibina.

Modal sosial inilah yang sangat berguna apabila bekerja dan berbisnes setelah tamat pengajian.