The Lean Startup: Perakaunan Inovasi
Perakaunan mungkin kedengaran seperti sesuatu yang membosankan dan melambatkan kerja. Dalam Lean Startup, fokus perakaunan adalah untuk meningkatkan produktiviti usaha startup.
Istilah perakaunan dalam konteks ini adalah secara umum iaitu memastikan semua pihak yang terlibat dapat diukur dan dinilai bidang tanggungjawabnya. Oleh itu, bukan kos dan perolehan semata-mata yang diambil kira. Banyak perkara lain seperti kadar pertumbuhan, jumlah pelanggan dan kadar viral dapat menjadi penanda aras. Dalam masa yang sama juga ukuran lain yang kurang bermakna seperti jumlah hit website, like di Facebook dan follower di Twitter diketepikan.
Perakaunan inovasi digunakan untuk menanda aras pencapaian startup dan meletakkan sasaran seterusnya. Sifat startup yang membawa perkhidmatan dan produk baru bermakna penanda aras dari perakaunan tradisional tidak begitu relevan. Lebih-lebih lagi apabila startup tersebut meneroka atau membuka sektor industri baru.
“When things get measured, things get done. When wrong things get measured wrong things get done.” Cabaran startup adalah memilih perkara yang betul untuk diukur bagi memacu kitaran Build-Measure-Learn dan setiap startup mempunyai keperluan yang berbeza.