Tiga Era Marketing
Sebelum kita pergi lebih jauh, ada baiknya kita lihat apa yang membawa kepada strategi positioning. Pemahaman ini membantu kita memahami dengan lebih baik apa itu positioning dan apa yang bukan.
Era Produk
Pada era awal marketing, produk sahaja sudah mencukupi. Pada zaman ini belum ada banyak kilang dan tidak banyak produk di pasaran. Asalkan usahawan dapat mengeluarkan produk baru yang lebih baik, beliau sudah pasti akan mendapat tempat dalam pasaran. Seterusnya beliau mudah untuk menjual dan membuat keuntungan. Dalam era ini syarikat-syarikat yang tidak dapat mengeluarkan produk baru ketinggalan dan terkeluar dari pasaran.
Era Imej
Masuk ke era kedua, usahawan sudah menyedari bahawa produk semata-mata adalah tidak mencukupi. Reputasi atau imej adalah lebih penting berbanding ciri produk itu sendiri. Banyak syarikat melaburkan wang yang besar mengiklan bagi membina imej mereka. Namun akhirnya reputasi itu datang dari tindak-tanduk dan keputusan-keputusan yang diambil oleh syarikat tersebut. Syarikat-syarikat yang tidak mempunyai imej tersendiri pula menjadi komoditi dan tidak dipedulikan pasaran.
Era Positioning
Era ini adalah era strategi; produk dan jenama tidak lagi mencukupi. Usahawan harus mencipta position dalam minda pelanggan bagi mendapat tempat dalam pasaran. Arus cabaran yang deras pada zaman ini menyebabkan banyak produk baru yang baik tidak dapat bertapak. Ramai pencipta pula mengalami kerugian. Jenama-jenama baru pula tidak diendahkan. Hanya dengan positioning yang berstrategi barulah usahawan dapat membawa produk baru dengan jayanya ke pasaran.