Tsunami Industri Media
Tahun 2018 dijangka menjadi titik tolak revolusi total industri media. Perubahan demi perubahan yang terkumpul sejak sedekad yang lepas kini ibarat air dalam empangan yang menanti pecah. Akan ada banyak perkara lama yang akan hancur dan dalam masa yang sama pelbagai kemungkinan baru terungkai untuk semua.
Mengapakah perubahan ini tidak dapat ditahan lagi? Apa yang akan berlaku kepada industri media? Ke manakah para pemain industri harus membawa diri selepas ini?
Sebelum kita menebak masa hadapan, ada baiknya kita teliti kembali bagaimana industri media berfungsi selama ini. Fahami betul-betul rantaian nilai yang membolehkan industri ini menjana berbilion dolar dekad demi dekad. Selepas itu baru kita lihat bagaimana rantaian nilai ini diputuskan satu demi satu.
Secara asasnya industri media berfungsi seperti berikut:
- Syarikat media mendapatkan lesen untuk menerbit.
- Berita dan/atau hiburan dipakejkan dalam bentuk akhbar, majalah, saluran TV atau saluran radio. Berita dan hiburan dibeli sama ada dari pembekal luar atau menggaji tim produksi sendiri.
- Akhbar, majalah, saluran TV dan saluran radio sebenarnya semua sama – iaitu kotak-kotak yang menarik audiens. Kotak-kotak ini pula dihidangkan di atas rak yang terhad. Orang ramai ‘terpaksa’ menjadi audiens salah satu kotak yang ditawarkan kerana tidak ada pilihan lain.
- Syarikat media menjual audiens ini sebagai slot iklan kepada para pemilik bisnes. Slot iklan adalah sumber yang berharga kerana bekalannya terhad dan mampu menjana jualan yang besar.
Pada era terdahulu, syarikat media sangat berkuasa kerana mereka dapat mengawal aliran maklumat dan marketing melalui kotak-kotak yang mereka cipta. Kotak-kotak tersebut pula tidak banyak saingan di pasaran kerana lesen adalah terhad. Harga sepenuhnya dalam kawalan mereka.
Artificial scarcity ini pula ditambah dengan keterhadan sebenar akibat kos tinggi dalam membina infrastruktur. Memulakan bisnes majalah yang berdaya saing sahaja sudah memerlukan modal ratusan ribu. Itu bisnes media yang paling murah, belum lagi cerita bisnes lain yang memerlukan modal jutaan ringgit.
Maka, sesiapa sahaja yang berjaya mencipta saluran media yang berdaya saing menikmati monopoli tempatan yang membawa pulangan besar tahun demi tahun.
Namun, mimpi indah tersebut sudah berakhir. Bagaimana pula industri media berfungsi sekarang?
- Lesen tidak lagi diperlukan.
- Berita dan hiburan boleh didapati di seluruh internet dengan mudah dan murah. Copy paste, rehash, ‘curi’ atau bayar murah-murah kepada pencipta konten.
- Mesin mempakejkan semua ini menjadi aliran maklumat yang dibina khusus untuk setiap individu.
- Mesin menjual slot iklan secara komoditi melalui sistem automatik kepada sesiapa sahaja yang mahu membeli.
Apakah mesin tersebut? Siapa lagi kalau bukan Facebook & Google! Dua syarikat ini sudah menjadi duopoli global yang menyedut segala bajet pengiklanan.
Mereka boleh menjual slot iklan dengan murah kerana mereka hampir tiada kos dalam mencipta konten. Facebook langsung tidak berkongsi hasil dengan anda apabila mereka menjual slot iklan di sebelah gambar bayi anda yang baru lahir kepada Nestle untuk mensasarkan rakan-rakan anda. Google ada juga berkongsi kalau anda ikuti program AdSense atau YouTube Partners tetapi nisbahnya sangatlah rendah.
Perubahan yang lebih mendasar adalah maklumat tidak lagi perlu melalui kotak-kotak yang dicipta oleh industri media yang lama. Berita, hiburan dan iklan boleh sampai terus kepada audiens yang diinginkan. Asal sahaja audiens tersebut mahu mendengar apa yang anda mahu katakan.
Ini baru pandangan sekali lalu perubahan yang melanda industri media. Dalam artikel-artikel yang akan datang kami akan membedah satu per satu tsunami yang membadai sektor-sektor dalam industri media. Kami akan mengupas bagaimana Internet menjungkirbalik keseluruhan ekosistem industri media.
[sc name=”mailchimp”]