Apa Itu Positioning?

Minda pelanggan mempunyai ruang yang terhad untuk menyimpan maklumat tentang produk yang ada dalam pasaran. Sebagai contoh, semua orang tahu apakah bangunan tertinggi di Malaysia iaitu KLCC. Namun, berapa ramai pula yang ingat bangunan kedua tertinggi di Malaysia? Begitu juga dengan jenama, kalau disebut burger jalanan orang akan ingat Ramly tetapi bukannya jenama lain.

Tanda utama kejayaan sesuatu positioning produk apabila jenama produk sudah sinonim dengan produk tersebut. Sebagai contoh, Ray Ban bukan sahaja jenama cermin mata hitam tetapi selalu digunakan untuk merujuk cermin mata hitam secara amnya. Begitu juga Colgate untuk ubat gigi dan Google untuk search engine.

Positioning mensasarkan tempat dalam minda pelanggan, iaitu bagaimana pelanggan melihat produk yang ditawarkan. Kata kuncinya adalah bagaimana persepsi pelanggan dan bukannya bagaimana usahawan sendiri melihat barisan produk mereka. Strategi positioning membina tempat yang menguntungkan buat usahawan dalam minda pelanggan.

Buku rujukan kita untuk meneroka topik ini adalah Positioning oleh Jack Trout dan Al Ries. Bermula sebagai siri artikel dalam majalah Advertising Age pada tahun 1972, tulisan mereka menjadi batu asas bidang Positioning dan pengiklanan secara amnya.