Apa Tugas Strategist?

Tugas strategist boleh diibaratkan seperti kapten kapal. Bayangkan sebuah kapal kargo besar membawa pelbagai barang merentas lautan. Nilainya kargonya berjuta-juta tetapi semua itu tidak akan membawa keuntungan sekiranya tidak sampai ke destinasi dan dijual.

Tugas kapten adalah memastikan kapal kargo selamat tiba ke destinasi. Memabaca keadaan laut, cuaca, trafik, mengelakkan pertembungan, dan pelbagai halangan lain. Tuan kapal dan kargo mungkin mempunyai wang berjuta-juta tetapi belum tentu dia boleh menjadi kapten kapal sebaik seorang professional.

Kapten kapal yang professional tahu mengendalikan pelbagai jenis kapal dan selok-belok pelbagai lautan. Mereka tahu sama ada ribut yang melanda hanya sementara atau akan berubah menjadi taufan. Prioriti mereka adalah memastikan kapal berserta krew dan kargo selamat tiba ke destinasi.

Begitu juga dengan strategist, mereka membantu usahawan menggunakan sumber yang ada secara optimum. Mereka boleh memberitahu di mana letaknya perangkap, peluang serta kawasan yang belum diteroka.

Pengalaman strategist membantu pelbagai jenis bisnes membolehkan mereka membawa pelbagai idea baru. Ini membolehkan bisnes baru tercipta. Namun, prioriti utama strategist adalah melindungi usahawan daripada kerugian. Kemudian barulah mencari jalan menggunakan pelbagai taktik yang ada bagi menjana lebih banyak keuntungan.