Baucar Buku Pembunuh Industri Buku?

Pasti ramai yang garu kepala, bagaimana durian runtuh boleh bertukar menjadi racun? Bagi memahami bagaimana rezeki terpijak bertukar menjadi perosak industri kita perlu lihat industri konten secara lebih luas.

Secara amnya kita boleh bahagikan industri konten kepada tiga; filem & TV, muzik dan buku. Antara ketiga-tiga industri ini yang mana satu secara konsisten eksport ke luar negara?

Sudah tentu industri muzik bukan? Saban tahun kita ada artis yang dapat menjual puluhan ribu album di luar negara – antaranya Siti Nurhaliza, Raihan, Too Phat, Sheila Amzah dan Yuna. Siapa pula penulis atau pengarah yang berjaya menjual filem dan buku di luar negara pada skala yang sama? Sukar untuk mencari contoh bukan?

Apa insentif dan subsidi kerajaan untuk industri muzik? Filem ada skim wajib tayang. Buku kini ada BB1M. Industri muzik tiada semua itu. Namun kenapa filem dan buku masih sekadar jaguh kampung?

Apa persamaan skim wajib tayang dan BB1M? Kedua-duanya memberi jaminan audiens. Bajet produksi filem dibuat untuk boleh untung dengan audiens skim wajib tayang. Drama TV pula direka untuk untung dengan bayaran yang diberi RTM, Media Prima atau Astro. Mereka tidak mengejar royalti untuk ulang tayang atau dijual lagi kepada stesen lain. Bila ada BB1M para penerbit banyak menjual buku dalam pakej 3 untuk RM50 mengikut denominasi baucar buku.

Jaminan audiens seperti ini menyebabkan pengkarya tidak mempunyai insentif untuk mencipta sesuatu yang luar biasa. Cukup sekadar buat yang biasa-biasa untuk audiens yang kekal di takuk lama. Banyak skrip filem dan episod drama TV ditulis cincai dalam masa sehari dua berkurung di bilik hotel.

BB1M mengherot pasaran buku dengan membawa kelompok audiens yang selama ini tidak baca buku. Mereka ‘terpaksa’ beli buku demi menghabiskan subsidi kerajaan. Jadi mereka sambar sahaja novel-novel dan travelog-travelog yang kononnya ‘deep’ lagi ‘kiri’. Bila syarat penggunaan BB1M dilonggarkan cepat sahaja mereka beralih kepada gajet dan perkara-perkara lain yang lebih menyeronokkan.

Sebelum BB1M sekalipun data menunjukkan banyak buku bestseller sebenarnya bukanlah dibeli kelompok pembaca tegar. Buku resepi, buku teori konspirasi dan novel cinta mendominasi carta bestseller. Konten-konten bertaraf tabloid tersebut kini penuh di internet. Cari sahajalah di blog, Facebook dan Wattpad – segalanya percuma dan lebih sensasi. Maka terngangalah para pemain industri buku yang tiba-tiba kehilangan pembeli.

[sc name=”mailchimp” ]