Buku Asas Bisnes

Bisnes adalah satu bidang yang luas mencakupi pelbagai topik seperti perakaunan, perkhidmatan pelanggan, inovasi, pemasaran dan lain-lain. Ini menyebabkan ramai yang baru hendak bermula terlepas pandang banyak perkara.

Jadi, buku apa yang sesuai untuk memulakan pembacaan tentang bisnes? Setakat ini, buku Seni Bisnes Terhebat Tao Zhugong adalah yang paling ampuh. Lebih-lebih lagi kerana konteks budayanya tidak jauh daripada situasi tempatan.

Buku ini sebenarnya membawakan prinsip-prinsip perniagaan yang dibawa turun-temurun dalam masyarakat Cina. Khazanah nan kaya ini kemudiannya diolah oleh Xu Hui dan Mint Kang dalam bentuk komik.

Pendekatan ini membantu menghidupkan prinsip-prinsip tersebut melalui watak Tao Zhugong serta keluarga dan rakan-rakannya. Lebih cantik lagi, prinsip-prinsip Tao Zhugong dibawa melalui bab-bab yang dihubungjalin seperti episod-episod drama.

Sungguhpun berasal dari era silam, prinsip-prinsip Tao Zhugong telah meliputi urus tadbir korporat yang baik melalui salah satu Piawaian Emas beliau iaitu ‘Patuhi Peraturan Syarikat’. Itu adalah sesuatu yang mendahului zaman kerana pada era feudal di Cina siapa yang berharta itu berkuasa membuat apa sahaja. Mematuhi peraturan syarikat sendiri sudah dianggap sebagai satu etika yang tinggi.

Bukan itu sahaja, beliau juga sudah menyebut tentang memasarkan produk dengan berani dan inovatif. Sesuatu yang terbilang aneh pada era di mana barangan adalah komoditi semata-mata dan kuasa yang selalunya menentukan kekayaan seseorang.


Buku ini turut memberi peringatan tentang kesilapan-kesilapan asas dalam perniagaan seperti memandang rendah kepada pelanggan. Dalam salah satu bab buku ini, staf Tao Zhugong hampir-hampir menyebabkan kedai mereka terlepas jualan yang banyak kerana tidak memberi perhatian yang sepatutnya kepada pengunjung kedai. Mujur sentuhan insani Tao Zhuugong menyelamatkan keadaan.

Dalam kecelaruan era cepat kaya, buku ini nyata menerangi dengan hikmah zaman berzaman. Penyampaian yang mudah namun sarat dengan pengajaran menjadikan buku ini sesuai sebagi pemula kembara bisnes.

_________________________________________________________________________________

Tingkatkan produktiviti di tempat kerja dengan mengikuti Bengkel Teknik Kaunseling Nabi Muhammad

– Posted using BlogPress from my iPad