Business Model Long Tail #2

Membuka pasar Long Tail sendiri membawa cabaran tersendiri. Kali ini usahawan bukan lagi sekadar memperkudakan naga Long Tail tetapi mahu mempunyai naga sendiri.

Sebarang marketplace atau pasar adalah two-sided market di mana usahawan perlu mengurus kedua-dua belah bekalan dan permintaan. Tanpa salah satu, pasar tidak akan berfungsi dan seterusnya membesar.

Ramai usahawan mendapat gambaran salah bahawa memulakan marketplace Long Tail adalah mudah. Mereka beranggapan kalau mereka dapat 1% sahaja dari bisnes Agoda, Mudah atau iProperty mereka akan menjadi kaya-raya.

Benar, secara teknikalnya mudah untuk menghasilkan laman web marketplace. Malah anda boleh ubahsuai sahaja daripada platform-platform percuma sedia ada. Namun menghidupkan dan mengendalikan marketplace memerlukan sumber yang besar.

Marketplace mempunyai dua komponen iaitu bekalan dan permintaan. Tanpa penjual tiada pembeli dan tanpa pembeli tiada penjual. Mana yang perlu didahulukan? Kajian kes selama ini menunjukkan bekalan perlu mencapai tahap signifikan terlebih dahulu sebelum permintaan datang.

Umpamakan marketplace itu pada peringkat awal seperti seekor anak naga. Pada tahap itu, tiada siapa yang berminat untuk melihatnya. Anak naga nampak sama sahaja seperti biawak atau buaya. Setelah melepasi sesuatu tahap barulah orang-orang berpusu-pusu mahu melihatnya.

Persoalan bagi usahawan yang hendak melakukan bisnes jenis ini; adakah anda mempunyai sumber yang cukup untuk membesarkan seekor anak naga?