Gelombang Perubahan

Sepanjang dekad yang lalu, kita telah melihat banyak perubahan merentasi pelbagai industri. Pemangkin utamanya adalah teknologi digital yang membolehkan lebih ramai orang mendapat akses kepada alat produksi dan saluran pengedaran.

Revolusi pertama adalah dengan teknologi MP3 yang menggegarkan saluran pengedaran muzik. Industri muzik lambat bertindak menggunakan teknologi baru tersebut sehingga para ‘lanun’ menggunakannya untuk mengedarkan muzik tanpa izin. Kemudian barulah industri muzik menggunakan MP3 bersama web serta rangkaian selular bagi menjana perolehan baru. 
Perubahan saluran pengedaran itu juga membolehkan para pemuzik industri mendapat capaian seluas syarikat-syarikat rakaman tradisional. Ditambah pula dengan teknologi rakaman digital yang semakin canggih dan murah, lebih ramai artis melangkaui syarikat rakaman dan terus menyampaikan muzik mereka kepada audiens.
Kemudian datang pula YouTube yang membolehkan lebih ramai menjadi bintang skrin dan melangkaui agensi-agensi bakat untuk terus mempromosikan diri serta berkarya. Tambah pula dengan teknologi rakaman HDSLR yang memberikan kuasa produksi setaraf TV dan panggung kepada pengguna biasa. Perkongsian hasil pengiklanan di YouTube juga membolehkan para penghasil video mendapat hasil secara langsung dari karya mereka.
Industri penerbitan juga tidak terlepas dari tempias revolusi digital apabila teknologi eBook dan Print-on-Demand membolehkan para penulis menerbitkan sendiri karya mereka. Internet pula menjadi wadah pengedaran mereka. Kesannya semakin ketara sekarang apabila sudah ramai pengguna mempunyai tablet yang memungkinkan mereka membaca eBook dengan selesa.
Revolusi yang telah melanda buku, muzik dan video akan mula masuk ke ruang fizikal, gudang dan kilang tidak lama lagi. Sekarang teknologi 3D printing telah mula menampakkan kematangan dan boleh dikendalikan oleh pengguna biasa.
Para pencipta sekarang boleh terus menghasilkan lakaran, menghalusinya di komputer dan terus mendapat bentuk fizikal tersebut menggunakan pencetak 3D. Tiada lagi perlu acuan, gudang dan kilang. Anda boleh terus menggunakan produk yang dicetak dan boleh menjualnya. Hilang sudah ramai orang tengah dan rangkaian bekalan yang kompleks.
Konsep pengeluaran massa yang kita pegang selama ini akan tercabar tidak lama lagi dan mungkin tidak lama lagi banyak kilang yang akan menjadi tidak relevan. Alatan-alatan rumah yang mudah tidak perlu lagi  dihasilkan di kilang kerana pengguna boleh mendownload terus rekabentuk produk dan mencetaknya di rumah sendiri.