Buang Peraturan Ini: Semua Murid Harus Habiskan Semua Tugasan

Kita semua mungkin pernah didenda kerana tidak menyiapkan tugasan atau kerja rumah. Walaupun siap sembilan tugas tetapi jika ada satu yang tidak siap maka bersedialah untuk didenda. Hukuman boleh jadi ketuk ketampi, berdiri luar kelas, atas kelas atau apa-apa sahaja yang memalukan. Ajaran sebegini menyebabkan kita fikir kita harus buat apa sahaja yang disuruh walaupun kita tidak faham apa kepentingannya. Walhal, dalam dunia bisnes bukan semua perkara perlu kita buat.

Menteri kata ambil pinjaman untuk bisnes, kita jangan main mohon sahaja kalau kita tidak memerlukan. Apa yang bagus untuk orang lain mungkin akan melingkupkan kita. Peniaga senior kata harus mengiklan di TV, radio dan akhbar kita jangan main ikut sahaja. Kita harus faham taktik-taktik tersebut dan pilih mana yang sesuai dengan strategi kita. Jika tidak ada satu pun yang sesuai dengan kita, cipta jalan lain!

Sistem sekolah melayan semua murid secara pukul rata dan standard. Oleh itu, semua murid harus buat tugasan yang sama. Murid yang dapat markah 100 pun buat tugasan yang sama dengan yang dapat markah 30. Dalam bisnes pula, mana mungkin syarikat yang mempunyai pendapatan 30 ribu buat perkara yang sama dengan syarikat yang berpendapatan RM100 juta.

Jika anda berbisnes, buang jauh-jauh peraturan ini. Kita tidak perlu buat semua benda yang orang lain buat.