Tsunami Industri Media: Instafamous vs Majalah Fesyen

Tsunami Industri Media: Instafamous vs Majalah Fesyen

Adakah saban minggu anda akan membeli majalah yang dibintangi oleh seorang model sahaja? Adakah pengiklan akan mengiklan di majalah sedemikian?

Sudah tentu tidak kerana audiens akan terlalu kecil dan majalah tersebut akan terlalu nipis untuk dicetak. Jadi bahan gunjingan pencetak dan pengedar sahaja jawabnya.

Tetapi, itulah yang berlaku di Instagram sekarang. Setiap akaun ‘instafamous’ sebenarnya adalah majalah satu model. Dari awal sampai habis hanya muka perempuan itu sahaja.

Pelik bin ajaib entah bagaimana mereka boleh terkenal dan ramai pengikut. Mungkin pernah berlakon drama, masuk pertandingan takpun kerana orang kata mereka cantik. Kemudian sampai satu tahap mereka terkenal semata-mata kerana mereka terkenal. Nama mereka sudah viral dan berbondong-bondonglah pengikut baru.

Pada tahap ini selalunya dua perkara berlaku:

Pertama, mereka menjual slot iklan. Walau kononnya dikatakan review tetapi sebenarnya iklan. Entah, saya pun tak faham bahasa korup mereka ini.

Kedua; mereka boleh jual produk mereka sendiri. Ada yang betul-betul reka produk sendiri, buat sendiri. Tidak kurang juga yang ambil sahaja dari pengilang OEM dan tempel nama mereka.

Pulangan ratusan ringgit sudah ada dalam tangan. Empat atau lima angka juga tidak mustahil. Apa yang pasti, mereka buat penerbit majalah fesyen gigit jari.

Ekosistem Majalah Fesyen
Ekosistem Majalah Fesyen

Struktur kos majalah fesyen sangat besar dan kompleks. Perlu ada editor, penulis, fotografer, eksekutif jualan, pencetak, pengedar dan macam-macam lagi. Kemudian perlu ada ‘mak nyah’ untuk jadi make-up artis. Tak tahu kenapa tapi editor perempuan bertudung pun kata kena sentuhan tangan nyah juga baru jadi.

Instafamous pula hanya berbekalkan smartphone dan mungkin sebuah DSLR. Fotografer pula boleh kerah kawan, teman tetapi mesra, tunang atau pasangan. Lagi power, selfie sahaja memanjang. Semua boleh buat sendiri – dari make up, ambil gambar, menulis, sehinggalah jual iklan atau produk.

Ekosistem Instafamous
Ekosistem Instafamous

Mungkin kadar iklan melalui Instafamous ini lebih murah berbanding majalah fesyen. Tetapi apa yang penting semua itu masuk dalam kocek mereka dan tidak perlu dikongsi dengan ramai orang. Namun iklan tersebut masih berkesan dan membawa pulangan lumayan kepada pengiklan. Inilah corak ‘disintermediation’ yang berlaku merentasi industri media dan anda boleh bayangkan berapa ramai yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

[sc name=”mailchimp”]