Lain Model Bisnes, Lain Ragamnya

Menyambung analogi sebelum ini iaitu model bisnes sebagai enjin, kita sedia maklum terdapat pelbagai jenis enjin. Ada enjin motosikal, kereta, pesawat dan janakuasa. Setiap satunya memerlukan bahan bakar berbeza dan menghasilkan kuasa yang berbeza.

Begitu juga dengan model bisnes – ada model yang memerlukan modal yang besar, ada juga yang boleh bermula dengan serendah RM100. Ada yang memerlukan premis dan ada juga yang boleh dibuat dari rumah. Model bisnes perlu disesuaikan dengan keupayaan peniaga – jangan seseorang yang hanya mampu mengendalikan kapcai mahu mengendalikan kereta F1 pula!

Sebagai contoh, turbin janakuasa juga adalah sejenis enjin. Turbin sangat efisien bagi menghasilkan output yang konsisten tetapi memerlukan bahan bakar khas seperti gas asli. Harganya sangat mahal dan memerlukan sepasukan jurutera untuk mengendalikannya. Turbin juga perlu dipasang dalam bangunan yang direka khas dan tidak boleh dialihkan dengan mudah.

Model bisnes yang seperti turbin ini boleh jadi seperti ladang kelapa sawit. Modal yang diperlukan agak besar kerana harus membeli tanah, menanam pokok dan menunggu beberapa tahun sebelum hasil boleh dituai. Namun selepas itu pemiliknya akan mendapat hasil yang konsisten setiap bulan.

Berbeza pula dengan enjin F1 yang direka untuk memberikan prestasi tertinggi. Enjinnya ringan dan sangat kompleks serta memerlukan petrol berkualiti tinggi dalam jumlah yang besar. Banyak tenaga dari bahan bakar habis sebagai bunyi dan kereta F1 memerlukan trek khusus untuk beroperasi. Krew F1 beroperasi sangat pantas dan disokong oleh satu batalion jurutera serta krew logistik yang besar.

Model bisnes Air Asia boleh dikatakan ala F1. Sistem operasi bisnes mereka sangat kompleks dan krew pesawat mereka bergerak pantas untuk memastikan pesawat boleh terbang semula secepat mungkin. Mereka juga memerlukan sokongan sistem IT yang sosfikated dan kempen pemasaran serta penjenamaan yang intensif. Hasilnya, mereka membuat keuntungan dengan sangat laju!