Marketing Baru vs Marketing Lama

Dalam buku Permission Marketing, Seth Godin menyebut tentang apa yang dipanggil Interruption Marketing & Permission Marketing. Interruption marketing adalah marketing gaya lama yang bergantung kepada media massa bagi menyebar luas dan ‘menghentak’ mesej penjenamaan serta promosi kepada orang ramai. Gaya ini dipanggil interrpution marketing kerana banyak bergantung kepada iklan-iklan yang menyelit apabila orang ramai menikmati kehidupan seharian. Tidak kiralah sama ada melalui televisyen, radio, papan tanda dan sebagainya.

Kaedah interruption marketing adalah komunikasi satu hala di mana pengguna tidak dapat memilih bagaimana dan bila mesej dihantar kepada mereka. Pihak penjual pula mahu mesej mereka sampai ke seramai mungkin orang dan sekerap mungkin. Hal ini berlaku kerana mass production menjadikan kos pengeluaran sesuatu objek semakin murah apabila semakin banyak dihasilkan.

Mengikut mazhab permission marketing pula, proses jualan adalah satu dialog antara penjual dan pelanggan. Bakal pembeli harus memberi keizinan terlebih dahulu sebelum dialog berlangsung. Melalui dialog ini, pelanggan dapat mengetahui lebih lanjut tentang produk dan juga mempunyai peranan dalam penghasilan sesuatu produk. Mesej yang disampaikan oleh penjual adalah relevan dan dijangka oleh pelanggan.

Kaedah marketing ini semakin relevan sekarang apabila means of production (kaedah pengeluaran) sudah lebih demokratik dan membolehkan produk dihasilkan dengan kuantiti yang lebih sedikit. Ini membolehkan penjual memberi respon kepada kehendak pelanggan dengan lebih tangkas.