Memaknai Ekonomi Islam Bahagian 7

Transformasi Takaful

lemonade-screen-shots-1

Di US dan Switzerland, startup fintech seperti Lemonade & Versicherix berlumba-lumba untuk menjadi peneraju insurans P2P (Peer-to-peer). Insurans P2P menggunakan platform internet untuk membolehkan para peserta dana insurans untuk berkongsi risiko secara terus dengan para peserta lain. Tiada overhead yang besar dan tiada komisen ejen yang tinggi.

Bagi mereka itulah, sebenarnya insurans adalah Mutuality in the pooling of shared risk. (Kebersamaan & kesamaan dalam mendanai perkongsian risiko).

Kita semak kembali apa definisi Takaful.

Sepatutnya takaful adalah kerjasama untuk menjamin satu sama lain terhadap risiko tertentu. Dalam erti kata lain, perjanjian untuk berkongsi risiko. Namun, kaedah penjualan takaful masih menggambarkan memindahkan risiko a.ka. insurans. Maka tawaran takaful sekadar menjadi memberi pampasan kepada anda sekiranya berlaku kemalangan atau anda dimasukkan ke hospital. Paling asas, memberi pampasan yang besar sekiranya berlaku kecacatan kekal atau kematian.

Pertama-tama, mari kita amati sifat produk kewangan itu sendiri. Takaful yang kita ada sekarang kelihatannya semakin hari semakin menyamai insurans konvensional. Sesetengah syarikat sekarang juga sekarang menyebutnya sebagai sekadar ‘Insurans Islamik’. Ada juga ejen yang pantas mengesyorkan produk konvensional apabila permohonan untuk produk takaful ditolak.

Benar, Takaful dapat menjadi satu bentuk keselamatan sosial – tetapi hanya untuk individu. Lebih tepat lagi, individu-individu kaya. Mereka yang miskin tidak mendapat manfaat daripada tabung-tabung takaful yang ditubuhkan oleh firma-firma kewangan Islam.

Dalam bentuk yang ada sekarang, produk takaful mempunyai sifat menjadi tuan tanah kedaung. Ia menagih premium/sumbangan bulanan tetapi apa sebenarnya yang diberikan sebagai pulangan?

Kontrak takaful tidak dapat difahami oleh kebanyakan orang. Sekiranya anda dapat memahami kontrak pokok, akan ditambah pula dengan rider-rider lain. Sepanjang penglibatan anda dalam skim itu pula, jumlah sumbangan akan disemak semula. Selalunya itu bermakna anda perlu membayar lebih dan bukannya kurang. Sejujurnya, berapa ramai peserta takaful dan ejen takaful benar-benar faham tentang skim yang ditawarkan?

Sebagai sebuah bisnes, apakah risiko yang diambil oleh pengurus dana takaful untuk melayakkannya mendapat keuntungan? Risiko itu masih lagi berdasarkan ‘risk table’ atau jadual risiko yang mengira kebarangkalian seseorang yang berumur dan berkeadaan tertentu untuk meninggal dunia. Dalam erti kata lain, mereka bersungguh-sungguh mengharap anda tidak akan mati, sakit atau kemalangan sepanjang tempoh penyertaan supaya mereka dapat keuntungan penuh.

Walaupun sesuci mana niat mereka, taktik jualan biasa masih lagi menakut-nakutkan prospek. Adalah biasa untuk ejen-ejen takaful menggambarkan bagaimana anda dan keluarga anda akan merana tanpa sokongan kewangan apabila ditimpa musibah.

Mereka menakut-nakutkan anda dengan musibah dan berjanji untuk membantu anda di waktu susah. Kemudian mereka ambil wang anda tetapi pada masa yang sama berharap mereka tidak perlu membantu anda sama sekali.

Apabila kita memerlukan bantuan mereka, kertas dan plastik yang diberikan tidak sebagus tunai. Anda tetap harus mengeluarkan wang dari poket sendiri. Mereka berjanji untuk menyerap risiko bagi pihak anda tetapi masih lagi memerlukan anda memberi cagaran tunai.

Ini bukanlah mengisytiharkan takaful sebagai haram mutlak. Sebaliknya, mari kita meneroka kaedah-kaedah untuk menjadikannya lebih hampir kepada prinsip-prinsip ekonomi Islam.

Dalam amalan sekarang, duit yang dikumpulkan pengendali dana takaful masih lagi dilaburkan dalam pasaran kewangan – saham, REIT, dsbnya. Memang secara berasingan setiap produk yang dilaburkan adalah patuh syariah. Namun, secara keseluruhannya sebagai sebuah bisnes dana takaful semata-mata buat duit dari duit.

Inilah bagaimana dana takaful berfungsi; kumpul wang dari peserta, laburkan dalam instrumen/produk kewangan yang selamat, dapat untung dan berharap bahawa jumlah tuntutan tidak melebihi keuntungan pelaburan. Memang dana takaful berkongsi keuntungan dengan peserta tetapi nilainya sekelumit cuma bila dibandingkan dengan modal percuma yang anda berikan kepada mereka.

Kenapa dikatakan modal percuma? Apabila polisi anda matang, hanya beberapa peratus sahaja dari wang yang anda telah sumbangkan anda kembali kepada anda. Selebihnya menjadi bahan permainan pengendali dana takaful di pasaran kewangan. Ditambah dengan keuntungan yang diperoleh, mereka hampir-hampir tidak memulangkan sesen pun kepaa anda.

Bila kali terakhir anda menuntut apa-apa secara signifikan dari dana takaful? Bagaimana pula dengan rakan-rakan dan ahli keluarga anda? Lihat sekeliling anda dan anda akan dapat amati bahawa mereka yang layak dan mampu menjadi peserta takaful sebenarnya dari segi statistik selamat dari menuntut. Mereka sebenarnya mampu untuk membayar kebanyakan perbelanjaan kesihatan mereka dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Takaful tidak memberi manfaat kepada mereka yang lemah dan lebih memerlukan bantuan kewangan untuk kos kesihatan mereka. Selepas umur tertentu, anda tidak lagi layak untuk menyertai skim takaful kerana anda akan mati tidak lagi – kata statistik.

Pelaburan yang dibuat oleh dana-dana takaful juga tidak memberi manfaat kepada orang kebanyakan. Duit yang dikumpulkan sekadar menjadi pinjaman berkos rendah kepada gergasi-gergasi korporat yang sudah sedia kaya-raya.

Antara alternatif adalah skim perkongsian kos kesihatan. Ini sudah diamalkan oleh jemaah-jemaah gereja di US. Inovasi sosial mereka ini adalah sebagai respon kepada peningkatan kos kesihatan dan insurans. Semua orang boleh menyertai dan tidak ada bayaran tambahan untuk mereka yang dianggap berisiko akibat keadaan kesihatan mereka.

Skim mereka mudah sahaja, wang dikumpulkan daripada para ahli dan diberikan kepada mereka yang memerlukan. Tidak ada skim dan strategi pelaburan canggih. Juga tidak ada kos tambahan ejen dan insentif mereka serta pendedahan terhadap pasaran kewangan.

Melalui cara ini, mereka mengurangkan kos tetapi masih mengekalkan keupayaan kewangan untuk membantu mereka yang memerlukan. Malah ada juga yang tidak mengutip wang secara bulanan, mereka hanya memberitahu para ahli siapa yang memerlukan bantuan segera.

Tentu sekali skim seperti ini tidak akan dapat memenuhi semua jenis kos kesihatan. Tetapi melalui kuasa komuniti, para ahli akan memberi sumbangan tambahan kepada mereka yang memerlukan.

Sekiranya beroperasi dalam kaedah serupa, Takaful dapat dipasarkan sebagai betul-betul saling membantu. Bukan sebagai ‘perlindungan’ atau pelaburan. Dari sudut spiritual, tawaran perlindungan adalah agak bermasalah. Seolah-olah kita beriman kepada perlindungan dari polisi dan bukannya dari Tuhan. Tambahan pula, skim takaful sekarang lebih bersifat individualistik dan bukannya bersemangat masyarakat.

Jika anda amati, apa sebenarnya risiko yang ditanggung oleh pengendali dana takaful? Mereka mendapat selonggok wang tunai untuk dilaburkan dalam produk-produk kewangan yang hampir-hampir pasti unutng. Apabila mereka perlu membayar tuntutan, mereka boleh menggunakan bahagian tabarru’ dari sumbangan peserta.

Lebih radikal lagi, takaful boleh diolah semula menjadi koperasi kesihatan. Dana yang terkumpul digunakan secara langsung untuk membina hospital dan klinik. Rangkaian hospital dan klinik masih dapat membuat keuntungan daripada para pesakit bukan ahli. Apabila ahli datang, mereka mendapat rawatan utama secara percuma dan rawatan elektif pada harga kos.

Model bisnes ini dapat mengurangkan kos rawatan kesihatan. Dalam sistem sedia ada, hospital perlu menuntut kembali dari dan takaful setelah memberi rwatan kepada peserta. Namun ini membawa pembaziran dalam bentuk hari dan caj tambahan kerana hospital mahu memastikan tuntutan mereka berbaloi untuk dituntut kerana mereka perlu menunggu. Sekiranya tidak ada kos menunggu bayaran sekalipun, sesiapa sahaja akan cenderung untuk mengenakan caj lebih tinggi kepada syarikat korporat berbanding individu biasa.

Bank Negara Malaysia juga sudah mengambil langkah proaktif mewajibkan semua pengendali insurans menawarkan produk asas secara terus kepada pelanggan tanpa melalui ejen. Secara peribadi, saya sendiri telah bertahun-tahun melanggan takaful Etiqa secara terus apabila ditawarkan oleh Maybank.

Kembali kepada insurans P2P yang disebut lebih awal tadi, bukan sahaja mereka memastikan dana benar-benar digunakan untuk perkongsian risiko semata-mata. Malah, dana lebihan digunakan untuk menyokong projek-projek yang memberi impak sosial terhadap masyarakat.

Kita kembali semula kepada zakat dalam bahagian berikutnya bagi meneroka sisi lain zakat yang sering dilupakan. Zakat sebenarnya bukan sekadar derma tetapi adalah instrumen keadilan sosial.