Minda Marketing: Mudahkan Mesej Anda

Minda Marketing: Mudahkan Mesej Anda

Saban hari kita bersaing dengan jutaan konten, iklan dan produk. Masa yang boleh manusia peruntukkan untuk menghadam semua ini adalah terbatas. Oleh itu, audiens akan mengambil yang paling mudah untuk dihadam.

Bayangkan iklan anda di celahan ribuan post dalam newsfeed Facebook seseorang. Individu tersebut hanya memberi masa sedetik untuk mendengar apa yang hendak anda katakan. Kalau dia rasa susah, dia tidak akan teruskan.

Jadi, bagaimana untuk mencipta mesej yang mudah untuk dihadam audiens?

Kuncinya adalah memahami had kognitif manusia iaitu bagaimana mereka memproses maklumat. Muatkan mesej anda dalam had tersebut dan anda akan mempunyai peluang yang lebih cerah.

Struktur

Dalam era media sosial, kebanyakan audiens hanya baca, lihat dan dengar sekali lalu sahaja. Mereka tidak betul-betul membaca, menonton dan memahami. Oleh itu mesej anda mempunyai struktur yang mudah difahami walaupun dibaca sekali imbas.

Oleh itu paling tidak anda perlu ada:
1. Tajuk
2. Perenggan yang tersusun

Tajuk itu memberi gambaran keseluruhan apa yang hendak anda sampaikan. Setiap perenggan itu pula membawa satu isi utama berserta sokongan.

Ayat pula jangan panjang berjela. Cukup sekadar 7 hingga 15 patah perkataan setiap ayat. Tiga ayat setiap perenggan sudah memadai.

Ini penting untuk memberi ‘ruang bernafas’ bagi audiens anda untuk memproses maklumat. Jika tidak mereka akan lemas dan meninggalkannya begitu sahaja. Prinsip ini yang terpakai tidak kira sama ada menghasilkan teks, audio atau video.

Ingat struktur dan ruang.

Mudahkan mesej anda.

Ikuti Siri Minda Marketing

* diperlukan