Peluang Keemasan Malaysia Pasca COVID19
Data daripada pandemik Spanish Flu tahun 1918 menunjukkan bahawa wilayah yang mengenakan kuarantin yang lebih ketat dan kembali beroperasi lebih awal akan menjadi lebih kaya. Malah, wilayah-wilayah tersebut akan menjadi lebih kaya lebih pantas daripada sebelumnya.
Logiknya mudah sahaja, orang kaya masih ada duit dan mereka memerlukan tempat selamat untuk melaburkan duit mereka. Apabila tidak banyak pilihan, kekayaan yang ada akan tertumpu kepada beberapa tempat sahaja.
Dalam pakej stimulus COVID19 yang diumumkan Shinzo Abe, Jepun telah memperuntukkan USD2 bilion untuk memindahkan kilang keluar daripada China. Walaupun China adalah rakan dagang terbesar Jepun, mereka terpaksa mengambil langkah ini bagi menjamin kelangsungan ekonomi dan produktiviti mereka.
Di sinilah peluang Malaysia untuk meraih keuntungan hasil kawalan ketat terhadap penularan COVID19. Memindahkan kilang bukanlah perkara yang mudah, banyak faktor yang perlu diambilkira antaranya kestabilan politik, bekalan tenaga elektrik dan sumber manusia yang berkemahiran. Malaysia bukanlah destinasi yang asing bagi syarikat-syarikat Jepun dan mudah untuk memenuhi kriteria yang diperlukan.
Dua tiga tahun sebelum COVID19 sekalipun Jepun sudah terdesak untuk mencari tempat untuk melaburkan wang mereka sehingga menawarkan pinjaman pada kadar negatif. Indonesia antara negara yang mengambil peluang tersebut tetapi dalam keadaan sekarang pasaran mereka akan tertutup paling tidak sehingga hujung 2020.
Singapura pula berhadapan dengan letusan penularan COVID19 di kalangan pekerja asing dan ini memberi kesan besar terhadap produktiviti mereka. Malah sebelum letusan kes tersebut, PKP yang dikuatkuasakan Malaysia telah menjejaskan operasi bisnes dan kilang mereka.
Trend untuk mengeluarkan kilang daripada China bukanlah perkara baru dan tidak terhad kepada Jepun sahaja. Ada banyak faktor yang menolak para pelabur keluar daripada China.
Pertamanya, kebergantungan yang terlalu besar terhadap rantaian bekalan dari China telah dilihat sebagai risiko bisnes sejak 2-3 tahun kebelakangan ini. Rantaian bekalan dilihat terlalu rapuh apabila bergantung kepada China semata-mata. Kos gaji juga tidak lagi murah apabila China semakin kekurangan anak muda untuk bekerja di kilang. Belum lagi masuk isu pelanggaran dan pencurian harta intelek yang berleluasa di China.
Label COVID19 sebagai Virus China juga akan membawa trend ‘Not Made In China’ terutamanya di kalangan negara-negara Barat. Ini mungkin alasan paling tidak rasional untuk memindahkan kilang keluar dari China tetapi kuasa pembeli adalah satu faktor besar dalam keputusan bisnes.
Peluang ini hanya sekali dalam satu abad – politikus, penjawat awam dan orang bisnes harus mengetepikan perbezaan fahaman dalam merebut peluang ini. Segera rancakkan kembali ekonomi Malaysia dan negara ini akan menjadi lebih makmur dari sebelum ini.