Buang Peraturan Ini: Semua Murid Harus Datang Pada Waktu Yang Sama

Selain daripada uniform yang serupa, semua murid juga harus datang pada waktu yang sama. Masuk pukul 7.30 pagi, keluar pukul 1 petang. Tidak kiralah sama ada murid tersebut paling optimum belajar waktu pagi, petang atau malam. Peraturan waktu yang sama dibuat supaya memudahkan pengurusan sekolah tetapi mengapa bila sudah keluar sekolah tetap terbawa-bawa ke dalam bisnes?

Adakah nasi lemak wajib dijual pada waktu pagi sebagai sarapan sahaja? Mengapa tidak dijual waktu malam? Begitu juga dengan nasi ayam, mengapa hanya dijual sebagai makanan tengahari? Mengapa tidak dijual dari pagi sampai ke tengah malam?

Kita telah lihat bagaimana restoran mamak menjual makanan yang biasanya dijual waktu pagi sahaja seperti roti canai menjadi makanan sepanjang masa. Rangkaian makanan segera pula terbalik, memulakan perniagaan lebih awal dan menyediakan menu sarapan.

Freelancer pula tidak seharusnya terikat kepada waktu ofis, mereka bebas menyertai pasaran global yang beroperasi 24 jam. Apa yang penting anda pilih sendiri waktu berbisnes mengikut personaliti anda dan pasaran. Jangan main ikut sahaja waktu orang lain berbisnes!