Permission Marketing: Tahap Keizinan Reputasi Jenama

Reputasi Jenama adalah sesuatu yang diagung-agungkan dalam Interruption Marketing atau pemasaran tradisional. Kini wujud iklan yang direka semata-mata untuk memperkenalkan jenama dan ada pihak cuba meletakkan nilai kuantitatif jenama dalam laporan kewangan syarikat.

Adakah jenama benar-benar satu perkara ajaib yang membawa lebih banyak pelanggan dan jualan kepada peniaga?

Secara asasnya jenama adalah nama yang diletakkan pada produk atau syarikat. Nama seorang individu juga adalah satu jenama. Fungsi utamanya adalah untuk membezakan satu produk dengan produk yang lain. Sama seperti kita semua yang mempunyai nama yang berbeza sebagai identiti.

Oleh itu, jenama ABC dan XYZ sebenarnya sudah cukup untuk berfungsi sebagai identiti. Bagaimana pula jenama dikatakan dapat memberikan kelebihan besar kepada seseorang peniaga?

Kita lihat bagaimana jenama berfungsi. Katakan syarikat XYZ mengeluarkan sabun pencuci pinggan. Para pengguna membeli sabun pencuci pinggan XYZ dan mendapati produk itu berkualiti. Maka, ciri produk itu telah dihubungkan dengan jenama XYZ dalam minda pengguna.

Kemudian, XYZ mengeluarkan pula sabun basuh baju. Apabila pengguna pergi ke kedai, dia mendapati ada sabun basuh baju jenama ABC dan XYZ. Oleh kerana pengguna tersebut pernah menggunakan sabun pencuci pinggan XYZ, maka dia mengandaikan sabun basuh baju XYZ juga bagus. Oleh itu, pengguna tersebut membeli sabun sabuh baju XYZ.

Apa yang berlaku kepada jenama XYZ bergantung kepada pengalaman pengguna dengan produk baru ini. Sekiranya sabun basuh baju XYZ ternyata berkesan, reputasi XYZ meningkat dan XYZ mendapat keizinan untuk menjual dua jenis produk serta peluang untuk menjual produk lain di masa akan datang.

Namun sekiranya sabun basuh baju XYZ tidak bagus, XYZ kehilangan keizinan menjual produk tersebut serta produk-produk akan datang. Pengguna akan fikir hanya produk sabun cuci pinggan XYZ yang bagus. Lebih teruk lagi, pengguna mungkin tidak akan membeli produk XYZ lagi. (Ini boleh terjadi sekiranya sabun basuh baju XYZ merosakkan baju pelanggan).

Pokoknya, jenama adalah hasil daripada produk serta perkhidmatan berkualiti dan bukannya hasil kempen pengiklanan semata-mata.

<< Tahap Keizinan Perhubungan Peribadi | Tahap Keizinan Situasi >>