Permulaan Baru

Adakalanya, lebih baik kita mencari tapak baru dan mula semula dari kosong. Pada asalnya saya mahu mengimport entri-entri lama dari blog Studio Inspirasi tetapi setelah difikirkan semula saya memilih untuk mula dari kosong.

Blog pertama iaitu Ibnu Ariff Web Log bermula dari tahun 2003 kemudian terhenti sekitar tahun 2008. Ditulis dalam Bahasa Inggeris, entri terakhirnya adalah tentang kahwin. Kebetulan pula saya hendak memulakan blog ini dalam sebulan sebelum berkahwin. 
Entri-entrinya dahulu lebih banyak berkisar tentang teknologi, kembara dan kehidupan seharian. Ada juga serba sedikit tentang Islam dan nasyid. Blog ini tidaklah begitu popular tetapi telah membawa saya mengenali pelbagai orang dari seluruh dunia – Jepun, Kanada, UK, Singapura, dsb. Ramai juga saya telah temui di dunia nyata dan persahabatan itu berterusan sehingga sekarang.
Paling penting, blog ini juga membawa saya mengenali para penulis yang kemudiannya membawa saya sendiri menjadi penulis dengan karya-karya saya diterbitkan oleh PTS. Penglibatan sebagai penulis pula membawa saya membuka blog kedua iaitu Studio Inspirasi. Fokusnya lebih kepada penulisan terutamanya fiksyen sains dan fantasi. 
Namun dari situ pula saya keluar masuk dunia training, terjemahan, pembangunan aplikasi, bisnes, fotografi dan videografi dengan didasari pendidikan formal dalam bidang sains komputer lantas menjadikan blog itu sudah tidak dapat menampung kegiatan penulisnya. Sepanjang tempoh itu juga saya bereksperimen, mengembara dan mencari apa sebenarnya potensi diri ini.
Maka, blog ini akan menjadi sintesis serta sinergi pengalaman-pengalaman lepas dan dalam masa yang sama menempa pemikiran-pemikiran baru bagi meneroka masa hadapan.