Persepsi & Positioning

Salah satu ciri dunia yang serba pantas dan penuh maklumat adalah orang ramai cenderung menggunakan persepsi mereka. Apa sahaja yang datang terus dilabelkan suka atau tidak suka. Mereka tiada masa atau tidak terfikir untuk berfikir lebih panjang daripada itu.

Contoh ekstrim adalah dalam politik. Keluar sahaja nama atau gambar seorang ahli politik terus sahaja dilabel suka atau tidak suka. Ada yang melihat beliau sebagai hero, ada yang melihatnya sebagai pengkhianat. Orang ramai tiada masa menghalusi satu persatu pendirian beliau dalam pelbagai isu dan sejarah beliau.

Perkara yang sama juga turut berlaku dalam pasaran. Apabila sesuatu produk diletakkan di depan mata prospek mereka terus melabelkan sama ada produk tersebut relevan atau tidak. Sekiranya ya, mereka akan berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Jika tidak, maka produk tersebut tidak mempunyai banyak peluang untuk dijual kepada prospek tersebut lagi.