Revolusi Elektrik Mencorak Bisnes Era Baru

Sekarang anda dapat lihat bersepah di sana-sini pondok telefon ditinggalkan dalam pelbagai keadaan. Banyak yang masih berdiri sudah tidak ada telefonnya. Di sesetengah tempat, pondok telefon sudah ditumbangkan terus menjadi hampas di tanah. Penembusan pasaran oleh telefon bimbit membawa kepada kematian pondok telefon.

Foto oleh David Blackwell
Foto oleh David Blackwell

Tidak lama lagi, stesen minyak akan senasib dengan pondok telefon. Sudah ada pemilik kereta Plug-In Hybrid yang tidak pernah ke stesen minyak sejak membelinya. Minyak yang datang semasa pembelian sekadar menjadi backup kepada bateri.

Oleh itu, mudah membayangkan tidak lama lagi tiada siapa lagi perlu pergi ke stesen minyak. Telefon bimbit membolehkan kita berhubung di mana sahaja. Kereta elektrik pula boleh dicas di mana sahaja. Cukup sekadar fakta bahawa setiap kereta elektrik boleh dicas di rumah – ibarat menukar semua rumah menjadi stesen minyak.

Business model akan bertukar tunggang terbalik. Pada masa ini stesen minyak menambah kedai, kafe, ATM dan pelbagai kemudahan lain bagi mengaut pendapatan daripada pelanggan. Untung menjual minyak hanya beberapa sen seliter tetapi menjual minuman dan snek pada harga tinggi adalah cara mudah membuat untung.

Apabila semua bangunan boleh bertukar menjadi stesen minyak, perkara sebaliknya akan berlaku. Kompleks membeli-belah, kafe, restoran dan hotel boleh menawarkan pengecasan percuma bagi menarik pelanggan. Sama seperti premis perniagaan sekarang yang menawarkan wifi percuma bagi menarik pelanggan.

Sama seperti pondok telefon, stesen minyak akan mengambil masa untuk pupus sepenuhnya. Kenderaan berat berkemungkinan besar akan terus menggunakan minyak dalam sedekad dua lagi. Ketumpatan tenaga yang ditawarkan oleh petrol & diesel dalam mengangkut barangan berat masih sukar ditandingi.

Syarikat penerbangan juga kemungkinan besar akan terus bergantung kepada minyak. Boleh dibayangkan bahawa sektor ini akan menjadi kubu terakhir penggunaan minyak. Namun, permintaan yang berkurangan daripada sektor dan industri lain bermaknan harga minyak yang semakin murah. Tambang pesawat akan menjadi lebih murah dan membuka ruang penerbangan kepada lebih ramai orang.

Tingkah laku pelanggan akan berubah seiring dengan transformasi persekitaran ekonomi. Penerbangan akan menjadi semakin meluas. Kos memandu yang lebih murah pula akan menyebabkan masyarakat lebih banyak bergerak. Oleh itu, pelancongan domestik dan antarabangsa akan meningkat.

Business model baru akan muncul dan yang sedia ada akan menjadi lapuk. Sebagai contoh, pemaju hartanah boleh mendapat pendapatan pasif dnegan memasang panel solar pada rumah yang mereka bina. Rumah-rumah dijual tetapi pemaju mengekalkan hak terhadap panel-panel solar tersebut. Tenaga yang dijana boleh dijual terus kepada para pemilik rumah atau diual ke grid utama.

Lebih mendasar lagi, kebangkitan tenaga hijau akan mengubah dinamik bekalan dan permintaan pasaran tenaga. Tidak seperti bahan bakar fosil, solar dan angin tidak terbelenggu dengan zero-sum economics.

Mengekstrak bahan bakar fosil dari perut bumi memerlukan modal yang besar. Membuka lombong arang batu atau membina pelantar minyak memerlukan berjuta-juta. Kosnya hangus dan kegagalan untuk mengekstrak dan menjual bahan bakar fosil secukupnya akan membawa kepada kerugian besar. Apabila sudah habis dikorek, pelaburan tambahan diperlukan untuk mencari sumber baru.

Panel suria di rumah pula hanya berharga beberapa puluh ribu. Jika tiada aral melintang, panel suria tersebut sudah pasti menghasilkan tenaga untuk dekad-dekad yang mendatang. Sesetengah pengeluar memberi jaminan kapasiti pengeluaran hanya akan jatuh 5% dalam 20 tahun. Apabila kos pembelian dan pemasangan panel solar tersebut sudah balik modal, pemiliknya kini mempunyai sumber tenaga percuma dan menyntik limpahan dalam pasaran tenaga global.

Limpahan bermakna kartel tidak lagi boleh memanipulasi pasaran. Terdapat terlalu banyak pemain dan bilangannya bertambah setiap hari. Ini menjadikan sebarang pakatan hampir mustahil. Pasaran tenaga akan semakin jauh dari permainan zero-sum di mana bekalan kepada satu pihak bermakna satu pihak lain tidak mendapatnya. Perkara lain pula akan menjadi rebutan antaranya bahan mentah untuk membina panel suria dan bateri.

Namun itu pun tidak sepenuhnya zero-sum kerana apabila bahan tersebut telah menjadi panel solar ia akan terus menghasilkan tenaga. Bila sudah rosak, boleh dikitar semula. Tidak seperti bahan bakar yang akan hangus apabila digunakan.

Perubahan ini hanya sekelumit cuma daripada apa yang akan datang. Menggantikan keterbatasan sumber dengan limpahan akan menjungkirbalik pemahaman kita terhadap teori dan praktikal ekonomi. Persaingan tidak lagi menjadi perkara pokok dalam teori dan strategi bisnes. Perubahan ini akan mengubah hidup manusia dalam skala yang lebih dasyat berbanding revolusi industri.