The Lean Startup: Definisi Lean Startup
Selama ini, pendekatan pengurusan moden menekankan kepada produktiviti. Para pekerja dan ahli pasukan diletakkan dalam jabatan-jabatan tersendiri seperti IT, jualan, pengurusan, kewangan, dan sebagainya. Produktiviti diukur mengikut fungsi kerja masing-masing. Pekerja jabatan jualan diukur berapa banyak jualan yang dibuat, jabatan IT pula diukur dari berapa baris kod yang ditulis dan pengurusan dinilai dari kecekapan menguruskan pentadbiran syarikat.
Namun nilaian produktiviti itu dikira berasingan dan tidak mengambil kira impak keseluruhan kepada nilai untuk pelanggan atau keuntungan syarikat. Sebagai contoh, jabatan IT mungkin boleh menyiapkan sebuah aplikasi dalam masa sebulan seperti yang ditetapkan tetapi akhirnya langsung tidak dibeli oleh pelanggan. Aplikasi tersebut mungkin tersalah spesifikasi atau langsung tidak diminta oleh pelanggan.
Juga sering berlaku para usahawan sibuk menghasilkan produk yang lebih canggih, makanan yang lebih sedap tetapi mengabaikan pemasaran dan jualan. Ini juga tidak membawa nilai kepada pelanggan dan keuntungan kepada syarikat.
Pendekatan Lean Startup membawa kesemua jabatan dalam satu pasukan cross-functional dalam menghasilkan nilai untuk pelanggan. Syarikat atau institusi wujud bagi terus belajar apa yang diinginkan oleh pelanggan serta pasaran dan bukannya menaikkan produktiviti individu setiap jabatan.
<< Lean Production System | Lima Prinsip Kaedah Lean Startup >>